Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner, S. Shanmugamoorthy.

KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki dan dua wanita warga tempatan yang disyaki terlibat dengan sindiket ‘Macau Scam’ di sebuah hotel bajet di Kepong di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP S. Shanmugamoorthy Chinniah berkata, serbuan pada Khamis lepas itu susulan siasatan terhadap laporan diterima daripada seorang wanita yang mengalami kerugian kira-kira RM33,000 selepas ditipu pada 19 November lepas.

Beliau berkata, sindiket itu menjalankan operasi di bilik sewa hotel berkenaan dan dipercayai aktif sejak tiga bulan lepas.

“Sindiket ini menggunakan Voice over Internet Protocol untuk melakukan penipuan melalui telefon dan mengatakan mangsa mempunyai hutang yang perlu diselesaikan dengan pihak bank,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, hari ini.

Katanya, polis turut merampas kertas yang mengandungi skrip percakapan untuk menipu mangsa selain telefon bimbit dan komputer riba dalam serbuan itu.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 30 tahun dan polis masih mencari saki-baki ahli sindiket tersebut yang masih bebas. – Bernama