Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersalaman dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (dua kanan) pada Majlis Perasmian Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 04 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR –  Ahli UMNO tidak patut diselubungi rasa bersalah kerana membawa perjuangan Melayu selama ini.

Sebaliknya menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, parti itu perlu menyesuaikan perjuangan seiring dengan konsep saling menghormati kaum lain.

“Bagaimana kita hendak meluruskan kemajmukan dan kepelbagaian yang ada, itu yang paling penting. Malaysia ini sifatnya intergrasi bermakna kita menghormati kepelbagaian bangsa yang ada mereka ada keutamaan masing-masing.

“Bila kita membawa UMNO ini kita tidak boleh bersifat apologetik, rasa bersalah seolah-olah politik identiti tidak relevan atau perjuangan Melayu tidak menepati zaman yang ada ini pemikiran yang dangkal.

“Paling penting memahami citra Malaysia, identiti kaum tidak ada masalah, tapi jangan melampau, jangan zalim tapi harus  kita harus adil dan hormati, nilai toleransi yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan perasmian Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan sempena Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

Bagi Ketua Pergerkan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad, pihaknya berazam untuk menjadikan ucapan Mohamad sebagai amanah untuk diterjemahkan sebagai amalan dalam rangka kerja  sayap itu khususnya demi membantu Barisan Nasional (BN) meningkatkan jumlah undi.

“Beliau mengamanahkan sayap-sayap ini dengan new deal dan  itu insyaAllah kita dalam Wanita UMNO, kita pun tengah memikirkan cara terbaik untuk meraih semula undi daripada rakyat supaya menyokong UMNO dan BN melalui gerak kerja yang telah dan sedang dan akan kita aturkan,” ujarnya.

Mohamad ketika berucap menyarankan sayap-sayap parti parti menyahut cabaran merangka tawaran baru UMNO untuk rakyat Malaysia yang dipanggilnya sebagai our new deal.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 04 DISEMBER 2019.

Menurutnya, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO perlu merumuskan suatu agenda yang konkrit untuk dijadikan tawaran kepada rakyat Malaysia.

Tawaran itu merangkumi empat elemen penting iaitu jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan politik dan kuasa Melayu.

Elemen kedua adalah jaminan dan iltizam UMNO dalam memperbaiki kedudukan sosio ekonomi dan kemajuan bangsa Melayu.

Ketiga adalah jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kedudukan Islam, institusi Raja-Raja, bahasa kebangsaan dan budaya Melayu.

Manakala elemen keempat pula jaminan dan iltizam UMNO dalam mengukuhkan kemajmukan Malaysia, menghormati kepentingan pelbagai kaum seterusnya memaju dan mensejahterakan Malaysia.-MalaysiaGazette