KUALA LUMPUR – Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) mula dipenuhi para perwakilan dari tiga sayap parti, iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Persidangan selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu (4 – 7 Disember) menyaksikan lebih 50 program melibatkan kepimpinan UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa dalam serta luar negara.
Malam ini, program PAU dimulakan dengan perasmian serentak sidang Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan di Dewan Merdeka.
Para wartawan pula mula berkampung di Laman Media di PWTC sejak semalam untuk membuat liputan dalam media masing-masing dengan kehadiran dijangka lebih 200 pengamal media dari seluruh negara.
Hari ini sahaja, sekurang-kurangnya empat program berlangsung, iaitu ucapan pembukaan persidangan mahasiswa oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, yang diadakan secara tertutup di Bilik Kuala Lumpur.
Diikuti jam 2 petang Wacana Ilmu “UMNO Sebuah Perjuangan” dan Majlis Tandatangan MoU Penulisan Ensiklopedia UMNO oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pada jam 2.30 petang ini pula diadakan Forum Media Sosial 2.0 “Wanita UMNO Dampak Media Sosial”, dan kemuncaknya perasmian persidangan tiga sayap pada jam 8 malam.
Hari kedua 5 Disember, tiga ketua sayap menyampaikan ucapan dasar yang diadakan secara serentak bermula jam 8 pagi.
Ucapan Dasar Pergerakan Pemuda disampaikan oleh ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di Dewan Merdeka; ucapan Dasar Pergerakan Wanita oleh ketuanya, Datuk Noraini Ahmad (Dewan Tun Hussein Onn), dan ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri oleh ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan (Dewan Tun Dr. Ismail).
Kira-kira jam 1 tengah hari, Mohamad akan melancarkan laman web UMNO di Pelantaran Putra, diikuti dialog Pemuda bersama Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri pada jam 3 petang.
PAU2019 diteruskan lagi hari ketiga (6 Disember), dengan perasmian Perhimpunan Agung UMNO oleh Ahmad Zahid di Dewan Merdeka pada jam 9 pagi.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan kepemimpinan Pas dijangka turut hadir pada majlis perasmian itu Jumaat ini.
Pada hari itu juga, Ahmad Zahid akan melancarkan Kelab Mahasiswa dan Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyertai sesi dialog dengan Pergerakan Pemuda UMNO di Pelantaran Putra pada jam 4 petang.
Hari akhir PAU, persidangan bermula jam 8 pagi dengan perbahasan para perwakilan, sebelum Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penggulungan pada jam 6 petang.
Para pendebat yang mengambil bahagian sesi perbahasan dijangka membangkitkan isu panas mutakhir ini seperti ideologi komunisme, sokongan terhadap kumpulan militan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dan peralihan kuasa antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu, pembahas juga seperti biasa turut mengupas mengenai hal ehwal ekonomi, sosial, pendidikan dan agama.
Sepanjang persidangan empat hari ini, portal rasmi UMNO iaitu UMNOonline akan menyiarkan semua ucapan perasmian tiga sayap parti dan perhimpunan agung secara langsung.
Pekarangan PWTC pula dipenuhi peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan ringan, minuman, pakaian dan cenderahati oleh peniaga kecil dan sederhana serta Foodtruck.
Peniaga ini memulakan perniagaan sejak Selasa lalu, apabila orang ramai mula mengunjungi PWTC untuk membeli belah yang disediakan khusus di tingkat dua.
Sementara itu, Urusetia UMNO menjangkakan lebih 20,000 orang termasuk penyokong UMNO, Pas dan parti Muafakat Nasional dari seluruh negara hadir, sama ada untuk mengikut persidangan itu mahupun merebut peluang membeli barang keperluan yang dijual pada harga rendah. – MalaysiaGazette
















