KUALA LUMPUR – Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK) berpandangan sudah sampai masanya undang-undang baharu diwujudkan bagi mengambil tindakan tegas kepada suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.
Presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, langkah itu perlu kerana Islam memberi pembelaan kepada wanita dengan menggariskan hak tertentu yang boleh dituntut oleh mereka selepas perceraian.
“Wanita perlu tahu hak mereka yang telah termaktub dalam undang-undang keluarga Islam terutama selepas berlakunya perceraian.
“Ketika ini, begitu ramai wanita teraniaya disebabkan tindakan bekas suami yang sengaja tidak membayar nafkah. Agak menyedihkan perbuatan itu turut memberi kesan kepada anak yang menjadi mangsa penceraian ibu bapa mereka,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang dilaporkan berkata, Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang dijangka beroperasi Mei tahun depan mempunyai kuasa menyita harta lelaki yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri.
Dr. Mujahid berkata, kuasa undang-undang yang diperuntukkan kepada mahkamah khas syariah itu antara perkara terkandung dalam Kertas Kabinet yang dijadual dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada Januari depan.
Katanya, Kertas Kabinet itu kini di peringkat akhir penilaian termasuk mendapatkan input dan pandangan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, MPMMK menyokong penuh penubuhan mahkamah itu kerana akan memberikan keadilan kepada wanita teraniaya.
Kata beliau, walaupun bekas isteri mungkin dalam kalangan orang senang atau bekerja, namun hak tetap hak dan tidak boleh dinafikan.
“Tiada alasan untuk bekas suami tidak membayar nafkah kecuali jika mereka sakit kronik, lumpuh atau hilang upaya kekal. Bagi mereka yang degil, tindakan seperti menyita harta boleh dilakukan bagi memberikan pengajaran kepada mereka,” katanya.
Jelasnya, ramai bekas suami tidak menghiraukan hukum akhirat apabila sengaja tidak membayar nafkah kepada bekas isteri, jadi mereka perlu diajar dengan hukum agama menerusi pelaksanaan undang-undang baharu.
“Ini perlu dilakukan bagi menjamin kebahagiaan hidup mereka pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
















