Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub bergambar dengan sehagian peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara di Universiti Putra Malaysia, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 DISEMBER 2019.

SERDANG – Kerajaan tidak akan menghentikan Operasi Naga (Ops Naga) yang dilakukan secara bersepadu dengan lima agensi penguatkuasa undang-undang dalam usaha mempertahankan perairan negara daripada diceroboh oleh nelayan-nelayan asing.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sejak operasi itu dimulakan enam bulan lalu ia telah membawa kejayaan apabila 90 peratus kawasan perairan negara kini bebas daripada kapal-kapal nelayan asing.

Beliau berkata, sebanyak 160 kapal nelayan asing telah berjaya ditahan dalam operasi tersebut dan ia merupakan pencapaian membanggakan daripada pihak berkuasa.

“Itu perlu kepada ketegasan kerajaan dan anggota-anggota yang cekap, berdisiplin dan berintegriti. Ia tonggak kepada kekuatan negara.

“Nelayan-nelayan juga menyalurkan maklumat dan kita (penguatkuasa) dapat menjalankan tugas.

“Kita dah hantar isyarat kepada mereka ini (nelayan asing) supaya jangan masuk ke perairan negara ini kerana ketegasan operasi kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan khas bagi menangani aktiviti bot nelayan asing, terutama bot nelayan Vietnam daripada terus berleluasa di perairan Malaysia.

Melalui penubuhan pasukan khas berkenaan, dua jawatankuasa kecil iaitu Jawatankuasa Penguatkuasaan Undang-Undang serta Jawatankuasa Dasar dan Perundangan diwujudkan.

Terdahulu, Salahuddin merasmikan Dialog Pembaharuan Industri Perikanan Negara dan Interaksi Pegawai Barisan Hadapan, Jabatan Perikanan Malaysia.

Hadir sama pada program berkenaan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan dan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd. Nawi.

Sementara itu, Salahuddin menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menarik semula lesen menangkap ikan dan mengambil tindakan tegas ekoran terdapat laporan menyatakan berlaku aktiviti penyalahgunaan permit untuk membawa masuk pendatang asing tanpa izin dilakukan oleh nelayan.

Katanya, maklumat itu diperoleh daripada Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia yang kini masih lagi dalam proses siasatan.

Beliau mendedahkan, perkara itu berlaku di perairan Laut China Selatan dan selat Melaka.

“Perkara itu telah dibisikkan kepada saya, saya sedang tunggu laporan penuh,” ujarnya. – MalaysiaGazette