Muhammed Yusoff Rawther. foto FAREEZ FADZIL, 04 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dakwaan Muhammad Yusuff Rawther beliau telah menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral seorang pemimpin politik terkemuka bertujuan mencemarkan imej PKR, kata Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga berkata, pendedahan Muhammad Yusuff dalam sidang media itu telah didalangi oleh Badrul Hisham Shaharin yang dikenali dengan panggilan Chegubard merupakan usaha untuk menghuru-harakan parti.

“Sidang media oleh Muhammad Yusuff Rawther yang didorongi Badrul Hisham Shaharin @Chegubard adalah satu usaha yang lemah untuk mencemarkan imej parti oleh seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan.

“Sebelum ini keahlian seumur hidup Chegubard telah ditarik semula pada tiga tahun lepas kerana menjejaskan imej parti dan memecahbelahkan ahli parti kerana mendakwa salah laku dalam pentadbiran Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Timbalan Presiden PKR dalam kontrovesi pelengkungan semula tanah lahan basah Paya Indah yang dikaitkan dengan sebuah pemaju terkemuka,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Muhammad Yusuff kononnya seorang ahli politik kanan melakukan jenayah yang digambarkan sebagai “perbuatan keji, teruk, tersembunyi, tidak Islamik, berbahaya, dan tidak bermoral” terhadapnya.

Muhammad Yusuff juga mengkritik pihak berkuasa kerana tidak bertindak atas laporan polis yang dibuatnya terhadap Farhash sebelum ini.

Yusoff bagaimanapun tidak memperincikan butiran mengenai dakwaan terhadap ahli politik berkenaan sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada akuan berkanun yang belum didedahkan kepada umum.

Bagaimanapun, akuan tersebut didapati telah tular di media sosial.

Beliau merupakan cucu kepada pembela pengguna Pulau Pinang yang terkenal, SM Mohamed Idris. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apakah frasa ‘pendedahan’ ini bermaksud ‘pembongkaran’ suatu kejadian benar atau ‘palsu’? Jika palsu, mengapa tak gunakan frasa “tabur fitnah” jer? Takut kena desak buat sumpah mubahalah atau “sumpah pocong” lagi? Kalau betul tak salah, tak perlu takut, kan?

Comments are closed.