Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) kali ini bersidang tanpa mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia.

Penutupan syarikat Utusan Melayu (M) BHd. pada bulan lalu, menyebabkan UMNO kehilangan warta perjuangan tanah air, kata Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.

“Buat pertama kali Perhimpunan Agung UMNO, Utusan Melayu tidak dapat bersama dengan perjuangan bangsa, agak janggal dan kekosongan perjuangan ini tanpa sahabat yang bersama.

“Tiada berita tanpa Utusan (Malaysia), tiada Utusan di Perhimpunan Agung UMNO. Kehilangan warta perjuangan tanah air lenyap di dasar kuasa politik.

“Tinta yang hilang kerana kuasa sudah terlepas dari tangan, walau apa sahaja alasan mengakibatkan Utusan Melayu terkubur, punca utamanya adalah kerajaan sudah bertukar tangan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Melayu Pakatan Harapan (PH) bukan lagi Melayu Merdeka, sebalik golongan Melayu Baharu yang mengikut telunjuk dan acuan bangsa Malaysia Baharu.

Katanya, acuan Melayu PH sudah dicampur aduk dengan bangsa DAP bersama PKR serta Parti Amanah Negara (PAN) yang membenci kepada perjuangan bangsa, malah mereka selesa dengan Malaysian Malaysia.

Jelas Mohd Razlan, insiden penyokong kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang melibatkan wakil rakyat PH hilang begitu sahaja.

“Tidak pernah ada rakyat Malaysia yang boleh dijamin di bawah Akta Sosma, namun dengan kuasa DAP, wakil rakyat yang menjejaskan keselamatan negara dibebaskan begitu sahaja.

“Isu terbaru pula festival tatu separuh bogel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) tidak dibawa bincang dalam akhbar perdana walaupun negara mempunyai budaya ketimuran.

“Begitu juga komunis Malaya yang diwartakan sebagai organisasi haram, belum pun mahkamah melepaskan pewartaan itu, sekarang abu mayat Chin Peng dibawa dengan bangga serta turut meraikannya secara bebas dalam majlis,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, antara isu yang menjadi wadah perjuangan negara satu ketika dahulu juga hilang di angin lalu dengan rakyat tidak lagi dihidangkan oleh pojok Awang Selamat.

Katanya, tiada lagi kolum kritis kepada pemimpin, tidak kira siapa, pemimpin UMNO juga tidak lari dari dikritis oleh Utusan Malaysia.

“Tajam mata pedang sudah tidak wujud lagi, akhbar lain tidak berani menulis dengan kritis seperti Utusan Malaysia. Akhbar lain hanya berharap PH akan membantu mereka dalam perniagaan.

“Sebab itu mereka ibarat diikat mulut walaupun isu melibatkan sosial ataupun keselamatan negara.

“Akhbar Berita Harian dan News Strait Times (NST) mengharapkan ihsan dari kerajaan untuk meneruskan kehidupan walaupun sehingga hari ini PH tidak membantu dari segi perniagaan akhbar berkenaan,” katanya.

Katanya, hanya akhbar Sinar Harian dilihat berani menulis dan membawa berita secara adil bagi pihak kerajaan dan pembangkang kerana mungkin mereka hidup tanpa ehsan kerajaan.

Oleh itu, lidah mereka lebih bebas berkata yang benar walaupun ada tekanan dari kerajaan dan ini menunjukkan akhbar itu mempunyai jatidiri.

“Rakyat Malaysia bergantung dengan portal atas talian seperti Malaysia Gazette, Malaysiakini, Malaysia Today dan portal lain untuk mendapat artikel berkualiti, pandangan dan kritikan yang berani serta berjiwa rakyat.

“Begitulah hilangnya perjuangan bangsa, sosial ketimuran, adat anak Melayu, perjuangan kesultanan serta kemuliaan perlembagaan tidak lagi wujud dalam penulisan di negara ini.

“Sebagai anak watan, kita hanya mampu berdoa agar gerhana politik ini berlalu dengan pantas, sekali gus dapat kita memartabatkan perjuangan bangsa bersama sahabat kita di Utusan Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast