Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media semasa menghadiri Mesyuarat Biro Politik PKR di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan kehadirannya ke Kongres Nasional PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) esok.

Timbalan Presiden PKR itu memberitahu, beliau dan rakan rakannya yang telah dipilih pada pemilihan kongres parti tahun lepas akan hadir ke kongres berkenaan.

Beliau sebelum itu mengadakan mesyuarat hari ini bersama beberapa pemimpin utama PKR iaitu Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Zuraida Kamaruddin serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain Elizaberth Wong yang merupakan Exco kerajaan negeri Selangor.

“Saya dan rakan pimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih dalam kongres parti tahun lalu akan bertemu presiden sekarang dan akan membincangkan tentang kedudukan parti dan persiapan kongres yang akan bermula malam esok hingga Ahad ini.

“Kami akan bincangkan beberapa perkara penting dan saya nak nyatakan di sini bahawa saya dan rakan-rakan akan hadir ke kongres nasional pada minggu ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan ringkas bersama rakan seperjuangan partinya selama lebih setengah jam hari ini.

Beliau kemudian turun bersama pemimpin seperjuangannya termasuk Zuraida dan Tian Chua pukul 6.20 petang tadi sebelum bercakap kepada pemberita.

Beliau telah terus menuju ke lif sebelah sayap kanan bangunan Dewan Persidangan untuk menyertai mesyuarat Biro Politik PKR yang dipengerusikan presidennya Anwar Ibrahim.

Diminta mengulas lanjut mengenai mesyuarat bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menjelaskan yang beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas selesai mengadakan pertemuan.

“Biar kami bermesyuarat dengan Presiden PKR dan akan berkongsi hasil perbincangan itu kepada anda (media) nanti,” katanya sebelum menaiki lif bersama pemimpin.

Ahli Parlimen Gombak itu bagaimanapun enggan mengulas mengenai ada kongres kedua parti itu di ibu negara sepertimana yang sedang tular dalam media sosial dan WhatsApp sejak awal minggu ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.