KUALA LUMPUR – UMNO tidak merasa terhina menjadi pembangkang, kerana mereka juga mempunyai peranan sama penting dengan kerajaan, tegas Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.
Kata beliau, walaupun parti itu kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mereka tidak mahu berundur ke belakang atau meletakkan diri dalam situasi rendah diri.
“UMNO parti perjuangan, tidak ada erti mengalah atau merendah diri apabila bertukar status dari kerajaan kepada pembangkang.
“Kita akan terus bangkit dengan semangat perjuangan yang semakin kental selepas mengalami kekalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian berucap pada majlis perjumpaan tertutup mahasiswa bersama Setiausaha Agung UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Perjumpaan itu merupakan acara pertama PAU 2019 yang berlangsung hari ini hingga 7 Disember ini.
Menurut Annuar, beliau berbesar hati melihat gerakan mahasiswa dari dalam dan luar negara yang berterusan memberi sokongan dan semangat kepada UMNO untuk terus berjuang.
Beliau juga mahu mahasiswa luar negara terus memperkasakan semangat juang UMNO dalam kalangan rakan yang belum menyertai mana-mana parti.
Sementara itu portal UMNOonline melaporkan, wakil mahasiswa UMNO luar negara, Muhammad Zafir Mohd Saman berjanji tidak akan menyertai parti lain, selain UMNO kerana menyedari parti itu sahaja yang berjuang membela orang Melayu.
“Kami berjanji tidak akan ada parti lain dalam hati kami selain UMNO,” katanya.
Katanya, mahasiswa tidak mahu lagi menyokong secara bersembunyi kerana ia hanya memberi kesan negatif.
“Kami tak mahu takut lagi. Kami sudah merasa dan nampak apa kesannya sekiranya mahasiswa menyokong UMNO secara bersembunyi.
“Jika Adam Adli dan rakan-rakan boleh menyokong pembangkang dahulu secara terbuka jadi mengapa kami tidak boleh melakukan perkara yang sama,” kata beliau.
Katanya, kelab mahasiswa akan bergerak bukan sahaja sebagai agen kepada parti tetapi akan menjadi satu gerakan mahasiswa sebagai pasukan untuk mendesak kerajaan.
“Sekarang kami akan lantang untuk jadi semak dan imbang baik kepada kerajaan mahupun UMNO.
“Kami mengkritik dan sediakan solusi. Dulu Adam Adli dan rakan-rakan hanya pandai kritik tapi tiada solusi. Kita tidak mahu seperti itu… tidak mahu sembang kosong.
“Sekarang mana Adam Adli? Menyorok bawah meja… Kami tidak mahu seperti itu,” katanya.
Zafir juga melahirkan harapan agar UMNO dapat mengangkat idea mahasiswa ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahasiswa mempunyai latar belakang yang berbeza, universiti yang berbeza dan ilmu yang berbeza jadi mungkin UMNO boleh ambil idea kami untuk diangkat ke pihak atasan dan Parlimen bagi memperkasakan mahasiswa itu sendiri,” tegas beliau lagi. – MalaysiaGazette
















