Badrul Hisham Shaharin
Badrulhisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’.

KUALA LUMPUR – Selepas membuat kenyataan terbuka menyerang Badrul Hisham Shaharin semalam, hari ini  Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak membuat pusingan U pula.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan Chegubard apabila beliau menerima mesej daripada Farhash menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira jam 8.35 pagi tadi.

Menurut Badrul Hisham, dalam mesej berkenaan, Farhash mengaku telah membuat kesilapan menuduhnya sebagai dalang di sebalik pendedahan Muhammad Yusoff Rawther semalam.

“Tiba-tiba pagi tadi dia (Farhash) hantar mesej, ‘Salam bro Farhash ni, saya dapat informasi, saudara tak terlibat, boleh call, semua ini salah faham sebab Yusoff petik nama saudara dalam sidang media.

“Kalau saudara betul-betul tak terlibat, saya mohon maaf, nak jumpa, nak call,” katanya pada sidang media di Taman Melawati, hari ini.

Semalam, Farhash mendakwa Badrul Hisham mendalangi sidang media pendedahan bekas penyelidik Anwar itu didakwa menjadi mangsa perbuatan tidak bermoral Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Badrul Hisham Shaharin
Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrulhisham Shaharin atau dikenali sebagai ‘Chegubard’ menujukkan mesej aplikasi WhatsApp daripada Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada sidang media mengenai isu fitnah di Restoran Sixty9, Melawati, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Badrul Hisham masih memberi peluang kepada Farhash untuk membetulkan keadaan termasuk membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tuduhan tidak berasas itu.

“Terpulang kepada Farhash, saya tak apa, soal saya terima atau tidak kamu minta maaf itu, soalnya Farhash saya nak bagi tahu jalan yang kamu lalu ini, abang-abang sudah jalan terangkan dulu.

“Saya beri ruang (mohon maaf) saya akan umumkan (tindakan tegas) kalau ada dalam masa tempoh 24 jam ini. Kalau ada saya nak ambil tindakan, saya akan umumkan kepada kawan-kawan media,” katanya.

Badrul Hisham turut melahirkan rasa kecewanya dengan tindakan melulu Farhash itu dan ia tidak sepatutnya dilakukan oleh pegawai yang mengawal selia pejabat bakal Perdana Menteri itu.

“Inilah masalah budak pejabat Anwar, kalau kamu buat sikap budak-budak, dengan semua orang nak bertumbuk, nak berperang, nak maki hamun, kamu akan bebankan bos kamu.

“Saya simpati dengan Anwar, kamu letak budak-budak macam ini dalam pejabat kamu. Tiba-tiba sergah Chegubard, habis semua media, beratus panggilan telefon saya dapat.

“Soalnya mana dia dapat idea yang saya terlibat. Sepatutnya hubungi saya ketika timbul itu sahaja, dari mana dia dengar, telefon la, beritahulah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Pendedahan’ Muhammad Yusuff bertujuan cemar imej PKR – Farhash