Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Selepas tempoh tiga bulan diberikan kepada kesemua 222 ahli parlimen mengemukakan dokumen pengisytiharan harta kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat – hanya 160 sahaja di antara mereka yang mematuhinya.

Penyerahan dokumen itu berakhir pukul 5 petang ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Semua ahli Parlimen Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR Amanah dan Bersatu berjumlah 138 orang telah mengisytiharkan harta mereka, katanya.

“Setakat 5 petang sudah tutup tempoh pengisytiharan harta kepada Speaker Dewan Rakyat, hanya 160 wakil rakyat daripada 222 orang sudah mengemukakan aset mereka dan salinan tersebut akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Namun dari sebelah pembangkang hanya tiga orang sahaja isytiharkan aset mereka iaitu masing masing dua daripada BN, UMNO dan seorang dari MCA,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen dalam sidang media selepas kelulusan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 2018 selepas dibahaskan di Dewan Rakyat petang tadi.

Dalam perkembangan sama, Vui Keong berkata,  mana-mana wakil rakyat yang masih belum mengemukakan pengisytiharan aset boleh merayu segera kepada Speaker Dewan Rakyat kerana hari ini adalah hari terakhir.

“Esok atau lusa tak boleh, kena rayu hari ini kepada speaker dewan dan kalau ikut budi bicara dia setuju bolehlah, hari ini hari terakhir seperti yang dimuktamadkan sebelum ini.

“Mereka yang tidak mahu kemukakan lagi adalah dianggap menghina dewan sebab ini telah dipersetujui awal lagi sebulat suara tak adil melanggar janji,” katanya.

Mengikut pecahan yang telah mengisytiharkan aset, PKR (50); DAP (42); Amanah (11); Warisan (9); UPKO (1); GPS-PBB (11); GPS-PRS (2); GPS-SUPP (1); GPS-PDP (1);, PSB1, PBRS (1) dan PBS (1).

Dalam perkembangan mengenai kelulusan laporan Suhakam di sidang terakhir Parlimen hari ini, Vui Keong berkata, segala cadangan itu akan diambil maklum oleh kerajaan dan sebarang cadangan yang dianggap relevan dan sesuai akan dipertimbangkan.

“Cadangan membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan serta membahaskan laporan pasca setiap Pilihan Raya Kecil di Dewan Rakyat setiap tahun satu cadangan baik yang boleh dipertimbangkan kerana boleh mengangkat ketelusan, integriti dan efisien suruhanjaya itu,” tegasnya.- MalaysiaGazette