Datuk Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang memberitahu, kontrak semasa pengendali dari Melaka itu akan tamat hujung bulan ini.

Bagaimanapun FAM bercadang untuk terus mengekalkan Kim Swee dalam sistem bola sepak negara.

“Kontraknya bersama skuad bawah 22 (B-22) tidak akan disambung. Dalam masa sama FAM begitu menghargai pengalaman dan ilmu yang dimiliki Kim Swee.

“Kita jangan lupakan sumbangannya kepada bola sepak Malaysia dan juga buat FAM. Kita tidak akan lupa semua itu dan mungkin ada tempat lain (yang boleh diisi oleh Kim Swee) dalam struktur bola sepak negara.

“Kita mahu terus manfaatkan pengalaman dan ilmu dimilikinya,” kata Stuart.

Sebelum ini, jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara itu enggan menyalahkan percaturan taktikalnya menggunakan formasi 3-4-3 sebagai punca kegagalan anak buahnya tersingkir awal di peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA ke-30 di Manila.

Kim Swee berkata, sesetengah pihak cuba membangkitkan isu kesilapan taktikal sebagai punca skuad negara kalah 1-3 kepada Kemboja pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Memorial Rizal, di sini, pada Rabu.

Keputusan itu menyaksikan Kemboja mengiringi juara kumpulan, Myanmar ke saingan separuh akhir. – MalaysiaGazette