Wakil mahasiswa, Muhammad Irfan Fikri Abd Rahman berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 05 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahasiswa berjanji akan memberi sokongan 100 peratus kepada UMNO, malah bersedia membantu parti itu berkempen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Komitmen itu yang dizahirkan wakil Kelab Mahawiswa UMNO Malaysia (KMUM), Irfan Fikri Abdul Rahman kerana menyedari UMNO satu-satunya parti yang memperjuangkan anak muda terutama dalam kalangan mahasiswa.

Katanya, sebanyak 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menyatakan keterujaan mereka terhadap usaha UMNO menubuhkan KMUM untuk mendengar suara mereka.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kerana sudi mengangkat dan mengiktiraf KMUM.

“Ini bermakna anak muda khususnya mahasiswa diberi ruang dan peluang untuk berkhidmat dalam UMNO. Inilah yang kami tunggu selama ini, sudah ada platform yang jelas untuk mereka bersuara,” katanya sebagai pembahas bagi KMUM di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Kata Irfan Fikri, landskap politik negara banyak sudah berubah, yang mana anak muda menjadi penentu kepada masa depan negara, terutama membenarkan mereka berumur 18 mengundi.

“Kami berjanji akan menabur budi dan taat setia serta memberi komitmen penuh untuk membantu parti.

“Andai kata esok diadakan PRU15, mahasiswa akan turun berkempen membantu memenangkan Barisan Nasional (BN),” katanya. – MalaysiaGazette