KUALA LUMPUR – Misi Peningkatan Eksport (EAM) yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada November di Davao, Filipina berjaya menjana nilai eksport lebih RM72 juta bagi 33 syarikat Malaysia.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat Malaysia diwakili oleh pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, penjagaan peribadi, teknologi komunikasi dan maklumat, logistik dan bahan binaan.

Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE yang berpangkalan di Manila Siti Azlina Mohd Ali Hanafiah berkata Davao merupakan ekonomi kedua paling besar yang sedang berkembang di Filipina pada 2018 dan juga merupakan ekonomi kelima terbesar di negara itu.

“Ini menunjukkan peningkatan potensi bagi perniagaan di Malaysia. Davao menawarkan alternatif menarik kepada Manila dan Cebu yang penuh sesak.

“Dengan dasar ‘Mindanao First’ Presiden Filipina Rodrigo Duterte, lebih banyak negara menimbang potensi wilayah ini untuk mencari rakan kongsi pelaburan. Menerusi pelaburan, pelbagai peluang eksport bagi syarikat Malaysia dapat diwujudkan,” katanya.

Siti Azlina menyifatkan Filipina sebagai pasaran dinamik dan kekal menarik bagi syarikat Malaysia dengan penduduk seramai 109 juta orang.

“Davao sahaja memiliki penduduk lebih 1.6 juta dan boleh menjadi entri strategik bagi Malaysia,” katanya.

Antara peluang yang tersedia di Davao City adalah dalam sektor seperti agri bisnes, kemudahan berkaitan pelancongan, prasarana, hartanah, halal dan pelancongan.

Selain itu, Teknologi Maklumat dan penyumberan luar proses perniagaan juga ada menunjukkan prospek, kata MATRADE.

Semasa EAM, MATRADE mengaturkan aktiviti seperti mesyuarat perniagaan dengan pembeli dan pengimport dari Filipina, sesi perangkaian, seminar dan perbincangan meja bulat mengenai menjalankan perniagaan di Filipina dan peluang pelaburan serta taklimat mengenai prosedur pendaftaran produk oleh Food and Drug Administration (FDA) negara itu.

Pada 2018, jumlah perdagangan Malaysia dengan Filipina meningkat sebanyak 2.1 peratus mencecah RM26.04 bilion daripada RM25.50 bilion yang dicatatkan pada 2017. Jumlah eksport meningkat sebanyak 2.0 peratus kepada RM16.85 bilion daripada RM16.52 bilion, manakala import naik sebanyak 2.3 peratus kepada RM9.19 bilion daripada RM8.98 bilion. – MalaysiaGazette