Isteri, Datin Fatimah Abd Rauf kelihatan suggul semasa proses pengembumian suaminya yang juga penyanyi, Allahyarham Datuk Nassier Wahab yang meninggal dunia kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, Julai lalu di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2019

KLANG – Penyanyi popular era 80-an, Datuk Nassier Wahab sempat memohon maaf kepada isterinya, Datin Fatimah Abd. Raof sebelum dimasukkan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur kelmarin.

Fatimah, 56, memberitahu, permohonan itu dibuat sebelum Nassier, 57, ditahan di hospital selepas berada dalam keadaan pucat dan mempunyai tekanan darah rendah.

Pensyarah sebuah universiti awam itu berkata, sebelum itu Allahyarham telah menjalani pemeriksaan rutin di klinik sebelum dirujuk ke PPUM.

“Kelmarin abang Nassier ada minta maaf sebelum dimasukkan ke hospital. Saya tidak sangka dia akan pergi.

“Ingat macam rutin arwah pergi hospital untuk tambah darah.

“Malam tadi dalam pukul 11, arwah terjaga dan saya dapati ada tompokan darah di bantal sebelum tiba-tiba arwah muntah darah dengan banyak.

“Selepas itu, arwah terus lemah dan tidak sedarkan sebelum pasukan perubatan cuba membuat bantuan pernafasan selama 45 minit.

“Namun arwah disahkan meninggal dunia pukul 12.45 malam dan saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Sebahagian orang ramai membantu proses pengebumian jenazah penyanyi, Allahyarham Datuk Nassier Wahab di Tanah Perkuburan Islam Bukit Batu Belah, Klang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2019

Beliau ditemui di Tanah Perkuburan Batu Belah selepas majlis pengebumian Nassier di sini hari ini.

Fatimah menambah, suaminya baru sahaja selesai menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi sejak sebulan lalu

Jelasnya, arwah disifatkan seorang yang kuat semangat melawan penyakitnya walaupun pernah mengadu kesakitan yang dialami itu.

“Abang Nassier cakap sakit di bahagian depan mulut dan rahang tepi,” ujarnya tenang.

Fatimah turut berkongsi pengalamannya menjadi isteri kepada Nassier sejak 23 tahun lalu.

Katanya, Allahyarham memiliki sisi seorang yang kelakar jika orang tidak mengenali secara rapat.

“Arwah seorang jenis happy go lucky dan suka buat kelakar.

“Dan kalau arwah marah, dia tidak simpan dalam hati.

“Arwah akan cakap depan-depan,” katanya yang memiliki seorang anak perempuan, Intan Najihah, 22.

Sebelum ini, Nassier pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri pada 1 Jun lalu.

Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang penyakit itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.