Datuk Ong Kim Swee.

MANILA – Ketua jurulatih pasukan Bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee menerima keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tidak menyambung kontraknya dengan hati terbuka.

Beliau yang mempunyai kontrak sehingga hujung tahun ini, ditunjukkan jalan keluar dari membimbing skuad muda negara, selepas prestasi buruk di temasya Sukan SEA ke-30 di sini.

Pengendali yang bakal menyambut ulang tahun ke-49 pada 11 Disember ini telah dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum bertolak ke Manila lagi, selepas membimbing skuad Sukan SEA Malaysia sejak edisi 2009.

“Saya telah diberitahu oleh Stuart Ramalingam (Setiausaha Agung FAM), saya terima dengan hati terbuka. Saya telah begitu lama dengan FAM terutama dengan pasukan remaja, jadi saya ucapkan terima kasih kepada FAM.

“Setiap jurulatih yang terlibat dalam bola sepak adalah untuk keputusan, dan usaha kita hanya akan ditentukan dengan keputusan. Tak kira keputusan sebelum ini, jika saya mampu memenangi Piala Dunia sekalipun, semalam saya kalah kepada Kemboja, perkara yang sama akan berlaku.

“Buat masa ini saya tidak mahu fikir apa-apa mengenai masa depan saya, di mana yang penting sekarang saya harus tumpukan pada kursus ‘lesen pro’ saya yang akan datang, dan pada yang sama untuk mengambil masa bersama keluarga, sebelum saya memikirkan tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di sini, sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Beliau berkata, banyak kenangan manis, buruk dan pendedahan dilaluinya dalam bidang kejurulatihan bersama FAM sejak mula menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sehingga mengendalikan skuad kebangsaan.

Bernama sebelum ini melaporkan bahawa FAM membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak pengendali itu, di mana satu pertemuan bersama Kim Swee akan diadakan, bagi mendapatkan penjelasan beliau bersama laporan penuh, mengenai prestasi buruk skuad negara di temasya dwitahunan itu.

Pasukan Malaysia yang dibarisi antara pemain terbaik muda negara, tersingkir seawal pusingan kumpulan, selepas terikat 1-1 menentang Myanmar, tewas 0-1 kepada Filipina, menang 4-0 ke atas Timor Leste dan dikejutkan dengan kekalahan 1-3 kepada Kemboja, semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee sekali lagi mengulangi kenyataannya bahawa kemampuan dan peningkatan yang ditunjukkan pasukan-pasukan seperti Kemboja, Filipina dan Laos, tidak boleh dipandang remeh seperti beberapa tahun lalu, di mana pasukan-pasukan berkenaan menjadi pasukan belasahan.

“Kita perlu fikirkan apa corak program yang kita mahu lakukan lepas ini, di mana saya percaya Kemboja yang layak ke pusingan akhir Piala AFC B-19 baru-baru ini, mereka mempunyai program yang cukup teratur dan kita tidak boleh leka.

“Bagi peminat, ini terpulang kepada mereka, di mana mereka mempunyai hak untuk bersuara, tetapi kita harus faham situasi dan realiti sebenar. Dulu apabila berjumpa Filipina, Kemboja dan Laos, kita tahu kita boleh menang, tetapi kita boleh menerima realiti sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kontrak Kim Swee tidak disambung