Mahfuz Omar

SHAH ALAM – Mana-mana ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang yang gagal mengisytiharkan harta disyorkan ditarik balik semua kemudahan dan peruntukan kawasan kecuali elaun.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, peruntukan baharu itu perlu diperkenalkan memandangkan keingkaran itu satu penghinaan kepada Dewan Rakyat mengikut Akta 347.

“Wakil rakyat yang gagal isytihar harta boleh didenda sehingga RM1,000 mengikut Akta 1952 dan boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

“Ini kerana mereka sudah tiada mempunyai amanah atau integriti bila gagal isytihar harta,” katanya pada Konvesyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), hari ini.

Sebelum ini, seramai 62 Ahli Parlimen pembangkang termasuk Bebas masih belum mengisytiharkan harta biarpun tempoh untuk berbuat demikian sudah berakhir.

Terdahulu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tiada keperluan untuk mana-mana wakil rakyat untuk mengisytiharkan harta mereka.

Abdul Hadi menegaskan, perkara itu hanya merupakan manifesto PH dan bukannya peruntukan undang-undang.

Mahfuz berkata, penarikan kemudahan dan peruntukan kawasan tidak perlu kepada pindaan kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, sudah tiba masa kerajaan mengkaji semula pelbagai kemudahan yang diberikan kepada ahli Parlimen sebelum ini kepada mereka yang tidak layak.

“Antaranya rawatan hospital, permit import (AP) untuk kereta banyak. Kemudahan itu seharusnya ditarik balik kerana mereka tidak menunjukkan keamanahan, integriti dan ketelusan mereka,” katanya.

Ditanya kemungkinan cadangan itu akan dibawa ke Parlimen, beliau berkata, ia perlu dibawa oleh Menteri berkaitan atau Speaker Dewan Rakyat sendiri.

“Ia terserah kepada ahli Parlimen atau Menteri yang bertanggungjawab mengenai Parlimen dan Speaker

“Terpulang kepada Speaker untuk kemukakan kepada kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette