Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – UMNO kehilangan enam peratus daripada kira-kira 3.6 juta ahli sehingga November lalu.

Dari jumlah peratusan itu, dua peratus ahli disahkan beralih arah kepada parti lain, manakala empat peratus lagi meninggal dunia.

Menurut Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, nama ahli yang keluar parti itu telah dinyahkan daripada senarai.

Katanya, usaha diteruskan kepemimpinan UMNO untuk menarik ahli-ahli baru dengan memperkenalkan pendaftaran keahlian atas talian.

“Hasilnya, kita menerima pendaftaran keahlian baru melalui atas talian seramai 28,000 orang.

“Sehingga 5 Disember semalam, jumlah ahli UMNO yang berdaftar secara sah ialah 3,292,667 orang,” katanya berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Menurut Annuar, UMNO kini sedang menyiapkan blueprint Pilihan Raya ke-15 (PRU15) sebagai asas kepada Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional yang di meterai September lalu antara UMNO dengan Pas.

Beliau bagaimanapun, tidak memperincikan blueprint  (pelan induk) itu, sebaliknya mengharapkan penyatuan ummah dan muafakat nasional itu terus kekal bersama.

“Selepas PRU14, kita diuji dengan pilihan raya kecil berikutan kematian penyandang dan keputusan mahkamah, yang mana empat daripadanya memihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Kita berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang diwakili wakil rakyat Orang Asli, menang di kerusi DUN Semenyih, DUN Rantau dan terbaru di Parlimen Tanjung Piai.

“Insya-Allah, kita juga akan tewaskan Warisan di PRK Parlimen Kimanis di Sabah nanti,” katanya. – MalaysiaGazette