Mohd Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Melayu (MPM) memohon kepada orang ramai supaya menghulur sumbangan menerusi Tabung Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang telah dilancarkan sejak sebulan lalu.

Tabung tersebut merupakan satu simpanan untuk digunakan bagi membiayai kos guaman terhadap kes-kes yang difailkan ke mahkamah dalam isu-isu yang melibatkan Melayu dan Islam.

Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, sebuah Jawatankuasa Khas Tindakan Undang-undang telah ditubuh dan telah mengatur strategi bagi mengambil tindakan serta membuat kajian bagi mendapatkan maklumat relevan terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan dan segala bentuk hak keistimewaan kepada bangsa Melayu dan Bumiputera.

Katanya, bagi tujuan itu pelaksanaan kedua-dua amanah tersebut memerlukan dana dan disebabkan itu tabung berkenaan diwujudkan.

“Agama Islam terus dicaci dan diperlekeh, bangsa Melayu terus dihina hingga dikatakan pendatang. Keikhlasan orang Melayu menerima mereka sebagai rakyat negara ini berpandukan Kontrak sosial langsung tidak dihormati. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa Kebangsaan turut dikeji dan ditolak.

“Sudah tiba masanya orang Melayu bangkit dan memilih untuk mengambil tindakan berasaskan undang-undang.

“Alhamdulillah, sekumpulan peguam Melayu komited dengan Majlis Perundingan Melayu (MPM) serta lain-lain NGO sekutunya melaksanakan amanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette selepas mengadakan perbincangan Hasrat Melayu menyaman dan tuntutan ganti rugi kematian serta kerugian keganasan komunis era darurat di sini hari ini.

Hadir sama pada sesi berkenaan bekas ketua polis negara, Tun Mohammed Hanif Omar, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Datuk, Dr Zainal Kling dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Mohd Khairul Azam berkata, tabung berkenaan akan diurus oleh sebuah syarikat guaman yang akan mengkoordinasi segala perbelanjaan guaman berdasarkan kes-kes tertentu.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad memaklumkan, satu himpunan orang Melayu turut dirancang untuk diadakan sebagai memberi amaran kepada pihak-pihak tertentu agar tidak melampau dan menghormati bangsa Melayu di negara ini.

Katanya, MPM akan mengkoordinasi segala perancangan yang hendak dibuat termasuk himpunan berkenaan yang akan dikendalikan oleh NGO. – MalaysiaGazette