Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA KUMPUR – Armada Bersatu mendapati lagu Negaraku bukan hanya dinyanyikan dalam bahasa Mandarin tetapi ia juga dinyanyikan dalam bahasa Arab.

Exco Pendudukannya, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, nyanyian Negaraku sama ada dalam masaha Mandarin mahupun Arab adalah salah dan melanggar kedudukan lagu yang diangkat sebagailagu kebangsaan melalui sendi bahasanya iaitu bahasa Melayu.

Katanya, ia sekaligus tanpa disedari telah  mengkhianati nilai patriotisme dan nasionalisme yang seharusnya mampu turut mengakar melalui pemahaman dari bait-bait lirik Negaraku dalam Bahasa Melayu.

“Mewakili Armada, sewaktu menerima maklumat awal (video) mengenai nyanyian lagu negaraku dalam bahasa Mandarin, kami Armada telah menjalankan sedikit selidikan dan mendapati lebih dari satu entiti yang berbeza turut juga menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Arab!,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini viral isu lagu Negaraku dinyanyikan dalam versi Mandarin, sekaligus mengundang rasa tidak senang rakyat di negara ini.

Sejak awal pagi tadi, kecoh seketika dengan sebuah video berdurasi 1:22 memaparkan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku secara beramai-ramai di dalam sebuah kelas menggunakan bahasa Mandarin.

Menurut Mohd Ashraf, biarpun tujuan untuk memberikan pemahaman dalam ‘bahasa asing’ yang dipelajari di sekolah-sekolah terbabit, Sekolah Cina dan Sekolah/Kelas Arab, namun terdapat banyak lagi lagu yang juga bercorak kenegaraan atau patriotik boleh dijadikan bahan untuk diajari.

Namun ujarnya, tidaklah sama sekali lagu Negaraku itu diperdagangkan.

“Itulah maruah kita walau liriknya tidak diubah!,” katanya sambil menambah masyarakat tidak sepatutnya mengambil sikap mudah perkara tersebut apatah lagi ia membabitkan nilai nasionalisme dan patriotisme yang semakin luntur dalam jiwa masyarakat dan rata-ratanya anak muda.

Oleh itu, kata Mohd Ashraf, tindakan perlu diambil segera bagi mengekang pemikiran sebegini ditambah ianya mampu menjadi modal permainan politik pihak tidak bertanggungjawab dengan mengaitkan dengan hal-hal berbentuk perkauman.

Menurutnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara adalah Bahasa Melayu, manakala lagu Negaraku adalah merupakan lagu rasmi negara.

“Biarpun di bawah klausa perkara yang sama, kurungan (1) (a) menyatakan “tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud RASMI), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

“Ini bukanlah suatu tiket untuk mana-mana pihak dengan sewenangnya mengubah lirik Negaraku ke dalam apa bahasa sekalipun,” ujarnya.

Menurut beliau, Biro Pendidikan Armada Nasional telah membuat laporan polis bagi menyiasat dan mengekang perkara sebegini dari berlanjutan. – MalaysiaGazette

Kementerian siasat video murid nyanyi Negaraku dalam bahasa Mandarin