RHB
RHB

KUALA LUMPUR – RHB Hong Kong Ltd dan anak-anak syarikatnya akan menamatkan operasinya di Hong Kong disebabkan persekitaran operasi yang semakin mencabar di sana.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RHB Bank Berhad berkata, operasi RHB Hong Kong telah merekodkan kerugian dan ia tidak lagi berdaya maju untuk meneruskan operasi perniagaannya di sana.

RHB Bank adalah syarikat induk RHB Hong Kong, melalui anak syarikatnya RHB Investment Bank.

“Pemberhentian operasi yang dicadangkan ini membolehkan RHB Investment Bank memfokuskan semula usaha dan sumber dalam memacu pertumbuhan jangka panjang di pasaran ASEAN yang lain sejajar dengan strategi FIT22,” katanya.

Menurutnya, RHB Hong Kong akan beransur-ansur menghentikan tawaran perkhidmatan kewangan kepada pelanggan sedia ada dan berpotensi.

RHB Investment Bank berkata ia akan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan penutupan operasi perniagaan mereka dilaksanakan secara teratur.

RHB Hong Kong menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan seperti rundingan dan nasihat sekuriti, perkhidmatan pengurusan peruntukan aset, perkhidmatan nasihat kewangan korporat dan rundingan kontrak hadapan dan pinjaman wang. – MalaysiaGazette