Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata peratusan pada tahun hadapan kepada 2.75 peratus.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Afzanizam Abdul Rashid, sebagai pertahanan pertama ekonomi negara, pengurangan OPR dijangka dapat membantu mengurangkan kesan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang semakin lemah.

Kali terakhir kadar OPR diturunkan adalah pada 7 Mei lalu daripada 3.25 peratus kepada 3.00 peratus.

“BNM mempunyai ruang yang mencukupi untuk mengurangkan kadar OPR, jadi kami menjangkakan OPR diturunkan kepada 2.75 peratus tahun hadapan,” katanya semasa taklimat Tinjauan Masa Hadapan Ekonomi 2020 di sini.

Jelas Afzanizam, ketidaktentuan faktor luaran terutama yang disebabkan oleh perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China menyumbang kepada pertumbuhan lemah ekonomi negara.

Di samping itu, permintaan domestik yang menjadi pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut mengalami penyusutan pertumbuhan.

Bank Islam menurut beliau mengunjurkan pertumbukan KDNK bagi 2019 adalah 4.5 peratus manakala bagi 2020 adalah 4.3 peratus.

Unjuran tersebut adalah lebih rendah berbanding sasaran kerajaan iaitu 4.7 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada tahun hadapan.

“Trajektori pertumbuhan diramal semakin perlahan pada 2020 kerana pengguna dijangka semakin berhati-hati dalam perancangan perbelanjaan manakala perniagaan pula akan terus bimbang terhadap tinjauan masa hadapan yang dilihat semakin mencabar.

“Dengan itu, bank pusat dan kerajaan persekutuan dijangka untuk melaksanakan dasar-dasar pengembangan ekonomi bagi menyerap impak daripada pertumbuhan ekonomi global yang semakin perlahan.

Tambah Afzanizam, kerajaan mungkin akan memperkenalkan pakej rangsangan sekiranya perkembangan ekonomi global semakin buruk.

Ketika ditanya, apakah dengan kedudukan fiskal semasa kerajaan masih mampu untuk melaksanakan suntikan ekonomi, beliau berpendapat, pakej rangsangan itu akan dibiayai melalui terbitan bon atau sukuk kerajaan.

“Jika dilihat kepada angka rasmi hutang kerajaan, komposisinya adalah dalam mata wang ringgit, kira-kira 90 peratus adalah dalam ringgit,

“Jika dilihat pula dari segi terbitan bon-bon kerajaan sebelum ini seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) selalunya dalam mata wang ringgit, kira-kira 90 peratus adalah dalam Ringgit Malaysia.

“Setiap kali MGS diterbitkan, pemilikan asing agak tinggi, kira-kira 58 perautus dan ini semua merupakan aset-aset berkualiti.

“MGS contohnya, setiap kali diterbitkan pasti ada permintaan awal sama ada daripada pengurus-pengurus aset, bank-bank atau dana pencen kerana bon-bon tersebut sangat cair.

“Jadi, kerajaan memang tidak mempunyai masalah untuk meraih dana (bagi melaksanakan pakej rangsangan ekonomi),” tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai prestasi ringgit, Afzanizam berkata, dijangka terus lemah pada tahun depan sekitar RM4.20 sehingga RM4.30 berbanding satu dolar Amerika.- MalaysiaGazette