Peguam Negara, Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, beliau tidak mengarahkan mana-mana pegawainya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Saya tidak sedar rayuan difailkan,” katanya dipetik dari Malaysiakini.

Terdahulu Rafizi menulis di laman Twitter bahawa Peguam Negara telah memfailkan rayuan bagi mengubah keputusan mahkamah yang melepas dan membebaskan beliau dari peruduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) berkaitan kes National Feedlot Corporation (NFC).

BACA: Rafizi kesal Peguam Negara fail rayuan keputusan mahkamah bebaskannya

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman 30 bulan penjara dikenakan terhadap Rafizi tahun lepas.

Dalam ulasannya, Tommy juga berjanji akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawainya yang bertindak memfailkan rayuan kes tersebut.

“Ini keingkaran yang jelas. Saya akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang bertanggungjawab, “katanya.

Sementara itu, The Edge memetik Thomas sebagai berkata, beliau akan membatalkan rayuan itu pada Isnin ini. – MalaysiaGazette