Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – “Peguam Negara telah memfailkan rayuan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan BAFIA dalam kes NFC,” kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di laman Twitter.

Rafizi turut melampirkan notis yang mengkehendaki beliau hadir perbicaraan Isnin ini pukul 9 pagi di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam di Bilik Pengurusan Kes 2 Istana Kehakiman.

Beliau sebelum ini telah  dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam daripada tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) berkaitan kes National Feedlot Corporation (NFC).

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengetepikan sabitan dan hukuman 30 bulan penjara dikenakan terhadap Rafizi tahun lepas.

BACA: Bebas tuduhan BAFIA, Rafizi tiada hasrat kembali aktif berpolitik

Menulis lebih lanjut, Rafizi berkata, beliau berharap Peguam Negara, Tommy Thomas akan membawa ahli keluarga bekas menteri yang mendapat manfaat daripada projek RM250 juta itu ke muka pengadilan.

“Tiada seorang pun daripada mereka telah didakwa di mahkamah setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette