Tommy Thomas Ganesan
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Pas amat terkejut apabila Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengumumkan beliau akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai-pegawainya yang telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Lebih mengejutkan, Tommy dilapor menyatakan keputusan untuk tidak memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi dibuat selepas beliau berbincang dengan Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun.

Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad berkata, pendedahan ini menimbulkan keraguan mengenai institusi Peguam Negara yang tidak lagi dapat diharap bertanggungjawab melaksanakan undang-undang negara secara bebas tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain.

“Apa kaitan Pengerusi SPR dengan kes ini sehingga ia tidak mahu dirayu?

“Adalah menjadi prosedur biasa undang-undang untuk rayuan dibuat bila Mahkamah Tinggi menterbalikkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Seksyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati Rafizi Ramli bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Kamaruzaman Mohamad bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Peguam Negara, Tommy Thomas di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 30 MEI 2019
Kamaruzaman Mohamad

Jelasnya, mendedahkan data perbankan daripada akaun syarikat adalah satu kesalahan besar kerana jika ia diputuskan sebagai tidak salah, sudah pasti akan menjejaskan keyakinan pelanggan bank dan para pelabur untuk melabur serta melakukan urusan perbankan di negara ini kerana ia tidak lagi rahsia.

Kamaruzaman berkata, pegawai-pegawai di Jabatan Peguam Negara harus dilindungi daripada campur tangan politik, mereka harus dipuji bukan diambil tindakan tatatertib.

“Yang harus disiasat dan diambil tindakan tatatertib ialah Peguam Negara yang sepantas kilat menyebut akan menarik balik rayuan selepas dikritik oleh Rafizi,” ujarnya sambil mengecam tindakan Ahli Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka cuba mencampuri urusan Jabatan Peguam Negara dengan meminta ia menarik balik rayuan tersebut.

Beliau berkata, semua ini bercanggah dengan akujanji Pakatan Harapan dalam manifesto yang kononnya mahu memastikan sistem perundangan dan kehakiman negara benar-benar bebas. – MalaysiaGazette