Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali beramah bercakap kepada media pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 07 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai telah meninggalkan Melaka dan telah berada di ibu negara.

Menurut seorang pengawal hotel yang ditemui MalaysiaGazette mendakwa, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah mendaftar keluar daripada hotel yang didiaminya petang semalam.

“Azmin dah check out, petang semalam, jam 5.06 petang. Tapi Naib Presiden Zuraida masih bermalam di hotel.

“Hilman (Setiausaha Politik Azmin) juga masih ada disini.

“Selepas PC (sidang media), Tian Chua, dan beberapa orang lagi terus meninggalkan perkarangan hotel dan tidak kembali semalam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azmin dan kumpulannya akan menghadiri majlis makan malam di hotel Renaissance, petang ini.

Zuraida semalam berkata, ia adalah majlis makan malam biasa yang diberi nama Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama.

Turut akan hadir dua lagi Naib Presiden iaitu Ali Biju dan Tian Chua.

Kepimpinan sayap PKR juga turut dijadualkan hadir antaranya Ketua Wanita, Haniza Talha, Hilman Idham dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), R Sivarasa. – MalaysiaGazette