Khalid Abdul Samad
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berucap pada ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto

SHAH ALAM – Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mereka tidak boleh menyingkirkan mana-mana penjawat awam yang tidak mahu memberi kerjasama dengan kepimpinan baharu.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad menegaskan, penjawat awam masih diberi peluang untuk menyesuaikan diri namun ditukar ke jabatan lain jika cuba menggagalkan usaha kerajaan baru.

“Kita tak boleh ambil alih…pecat…pecat…pecat, tak boleh, kita kena ikut sistem yang ada dan beri peluang kepada mereka

“Tak mudah tapi akhirnya setelah setahun lebih, yang dilihat tidak sanggup memberikan kerjasama, kita pindahkan, baru berlaku, Menteri Pertanian kita.

“Hari ini dua hari lepas bukan sekadar menteri, Peguam Negara pun, saya kata kes Rafizi Ramli itu jangan buat rayuan, buat juga,” katanya berucap pada sesi penggulungan Konvensyen Nasional Amanah 2019, di sini, hari ini.

Khalid juga berkata, apabila PH mengambil alih jentera kerajaan, ia tidak sama seperti ambil sama dengan jentera kereta, susulan ada segelintir penjawat awam masih setia dengan kerajaan terdahulu.

“Nak ambil alih jentera kerajaan ini bukan nak ambil alih jentera kereta, kita ambil alih kita dapat kunci, kita pandu kita bawa mana nak.

“Jentera kerajaan ini manusia, ada kefahaman dia, tak mudah untuk kita nak yakinkan mereka, lebih-lebih lagi pemimpin mereka selama ini begitu rapat dengan mereka, naik pangkat kerana pemimpin ini,” katanya.

Sementara itu, Amanah boleh berbangga perbahasan daripada perwakilannya sepanjang tiga hari Konvenseyn Nasional 2019 bersikap jujur kerana menegur pemimpin secara terbuka.

“Budaya mengampu pemimpin tidak lagi meresap dalam Amanah. Saya rasa kalau dibuat liputan siaran langsung, orang akan terkejut ataupun hairan, ini perwakilan Amanah, yang kritik pimpinan Amanah.

“Ini satu keanehan bagi masyarakat, saya nampak dalam media massa, surat khabar banyak disiarkan memberi gambaran seolah-olah perwakilan ini semua mengkritik bagaikan menegur dan menolak kerajaan PH.

“Orang tak biasa, perwakilan datang tegur pemimpin, tegur kat tepi, tak puas hati, nak tegur kat bawah, tunjuk muka pemimpin, sampai begitu. Kita berharap bahawa dari isi teguran-teguran itu, kita cuba pertingkatkan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette