Seorang penunggang motosikal maut setelah terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 58, Jalan Jementah - Muar kira-kira pukul 2.30 petang semalam.

KUANTAN – Seorang wanita mendakwa kerugian RM1,500 selepas terpedaya dengan ‘tawaran’ untuk dijadikan isteri oleh kenalan laman sosial yang baru dikenalinya seminggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 54 tahun mendakwa berkenalan dengan suspek yang dikatakan mengusahakan restoran di Johor pada 2 Dis lalu.

“Suspek pada mulanya dikatakan mempelawa mangsa untuk bekerja di restoran itu, sebelum menukar fikiran dengan menawarkan mangsa menjadi isteri dengan janji diberikan wang belanja dan segala keperluan yang diminta.

“Mangsa yang telah bercerai dengan suaminya dipercayai berminat dengan tawaran itu dan sebagai jaminan mereka akan berkahwin, suspek meminta mangsa memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikannya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang berasal dari Cheroh, Raub dekat sini mendakwa suspek juga berjanji akan ke rumahnya selepas menerima wang itu untuk menyerahkan wang bagi menyelesaikan semua hutang mangsa di Raub sebelum dia berpindah ke Johor.

Mangsa mendakwa dia memindahkan wang yang diminta pada Jumaat lalu, dan sejak itu tidak menerima pesanan daripada suspek selain nombor telefon yang sering digunakan untuk bercakap dengan suspek gagal dihubungi.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dekat sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – Bernama