Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi (kiri) bercakap sesuatu dengan Presiden Kongres Indian Muslim Malaysia (KIMMA), Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (kanan) pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Presiden Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja melahirkan rasa kagum malah tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih kepada semua jasa yang ditabur oleh Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).

Malah Ahmad Zahid juga mengaku beliau cukup faham dengan sentimen serta suara akar umbi parti India Muslim itu yang mahu menjadi sebahagian daripada komponen BN sejak dulu lagi.

Kata Ahmad Zahid, beliau sedia maklum dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan BN di bawah 9.1 yang menyebut keputusan seumpama itu memerlukan konsensus semua komponen dan tidak boleh dilakukan secara ‘suka-suka’ sahaja.

“Saya cukup faham apa yang tersurat dan tersirat. Apa yang ada dalam hati masing-masing. Saya juga pernah bisik dengan Presiden MIC sebelum ini, tadi saya juga telah pandang-pandang, jeling-jeling. Kita semua sedia maklum.

“Bagaimanapun saya amat berharap anda semua akan bersabar. Jangan bersedih, tuhan bersama kita. Saya cukup kagum apatah lagi dengan kesetiaan anda selama puluhan tahun ini dengan BN.

“Perhimpunan Agung Kimma yang ke-43 ini cukup memberi signifikan yang bermakna kali. InsyaAllah saya akan sampaikan usul-usul anda untuk pertimbangan lebih baik. Tidak lama, sedikit masa sahaja lagi. Insya Allah.

“Pastinya ada cahaya pada hujung pada penghujung terowong, jangan risau,” katanya di hadapan lebih 900 perwakilan yang kemudian mendapat tepukan gemuruh.

Ahmad Zahid juga seakan-akan memberi bayangan Kimma akan mendapat kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi berucap pada Perhimpunan Agung KIMMA Kali Ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 08 DISEMBER 2019

Kimma yang sudah bertapak sejak 43 tahun lalu merupakan parti keramat bagi masyarakat India Muslim di negara bagi memperjuangkan nasib mereka yang pernah diiktiraf oleh UMNO sebagai parti gabungan selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi parti itu.

Ahmad Zahid juga melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Kimma dengan bilangan ahli yang kecil namun rata-rata mereka terdiri daripada golongan elit seperti ahli perniagaan berjaya  serta golongan berpendidikan di negara ini.

Dalam pada itu, Presiden UMNO itu menempelek kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menipu rakyat sambil menuding jari kepada kerajaan BN bagi melepaskan diri daripada tanggungjawab mereka.

“Ini sebenarnya kerajaan ‘kebetulan’ sahaja. Mereka menang secara kebetulan, bendera terbalik secara kebetulan, jalur gemilang salah secara kebetulan, abu Chin Peng secara kebetulan, nyanyi salah lagu Negaraku kebetulan, kalah PRK secara kebetulan dan kemudian kalah PRU-15 juga secara kebetulan.

“Tengoklah sendiri. Semua ini adalah ‘kebetulan yang teracang’ sahaja.

“Mereka tidak boleh berterusan menipu dan menzalimi rakyat dengan mengatakan manifesto itu bukan kitab suci. Berterusan menjual semua aset negara sesuka hati. Rakyat sedang tengok,” katanya.  – MalaysiaGazette