Naib Presiden Keadilan, Tian Chua ditenangkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Azmizam Zaman Huri pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto IQBAL BASRI, 08 DISEMBER 2019

AYER KEROH – Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata beliau bimbang hala tuju parti itu yang semakin taksub untuk mengangkat Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional PKR hari ini, Tian Chua berkata, isu untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bukan isu sekarang.

Namun beliau berkata, ahli semakin taksub untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan dan itu akan mengundang bahaya kepada parti.

Reaksi perwakilan semasa ucapan penggulungan Naib Presiden PKR, Tian Chua pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2019

“Masalahnya bukan PM8, PM9, PM kesepuluh, tapi kita akan lihat penyokong akan jadi makin ekstrem dan terlalu taksub dan itu bahayanya bagi parti kita menjadi parti pemerintah.

“It is not about Anwar (Ini bukan mengenai Anwar sahaja), lepas Anwar akan (ada orang lain) jadi PM, Presiden lain, kalau nak jadikan parti terus revolusi, dan sokong pemimpin tanpa persoalan, itu adalah tanggungjawab Anwar untuk selamatkan kita,” katanya pada Kongres PKR, hari ini.

Reaksi perwakilan semasa ucapan penggulungan Naib Presiden PKR, Tian Chua pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2019

Tian Chua berkata, ahli tidak seharusnya lupa tentang pengorbanan beberapa pemimpin parti 20 tahun lalu.

“(Sekarang) Kita ada kemudahan yang mudah, cuba fikirkan 20 tahun yang lalu, nak suruh (laung) Hidup Anwar dalam keadaan seorang diri dalam tahanan ISA berapa sahaja yang berani.

“Kita harus ingat singgahsana PM ini ditukar dengan pengorbanan pelbagai pihak. Semua yang kita lalui sepanjang 20 tahun termasuk Timbalan Presiden tanpa pengorbanan Azmin Ali, parti ini tidak ke mana,” katanya lagi.

Para perwakilan memegang plakad ‘Anwar PM ke-8’ pada Kongres Nasional Keadilan ke 14 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka. foto FAREEZ FADZIL, 08 DISEMBER 2019

Ucapan itu mendapat ‘boo’ daripada para perwakilan yang berada di dewan Kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.

Tian Chua yang dilihat seorang diri dalam dewan yang dipenuhi penyokong Anwar turut berkata, beliau tidak perlu menyatakan sokongannya terhadap Anwar kerana ia sudah dimeterai oleh semua kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak perlu angkat banner untuk tujukan kesetiaan saya untuk Anwar jadi Perdana Menteri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.