Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP digesa untuk membuktikan kenyataan beliau bahawa sudah 60
peratus daripada janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 sudah ditunaikan.

Ketua Dewan Pemuda Parti Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, sebagai seorang Menteri Kewangan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Guan Eng haruslah berdasarkan fakta yang sahih, bukan sekadar memetik nombor untuk melunakkan halwa telinga rakyat.

Ini kerana, dakwanya, jika dilihat kepada 10 janji 100 hari yang merupakan antara 10 janji terpenting PH pun, angka 60 peratus ini jauh daripada terlaksana.

Oleh itu, DPIM merungkai satu persatu untuk menyedarkan rakyat, agar tidak terus tertipu
dengan wayang PH.

i. Mansuh GST – Janji ditunaikan. GST disifarkan. Namun begitu, hari ini banyak ketirisan berlaku dalam sistem percukaian SST yang dianggap sebagai langkah ke belakang.

ii. Menstabilkan harga petrol – Janji ini terdiri daripada dua komponen iaitu menstabilkan harga dan subsidisi bersasar. Menstabilkan harga dilihat tertunai, tetapi pada 1 Januari 2020, ia akan diapungkan kembali.  Memperkenalkan subsidi minyak bersasar pula masih belum dilaksanakan.

iii. Hapus hutang peneroka Felda – Gagal.

iv. KWSP untuk pasangan – Janji ditunaikan.

v. Gaji minimum – Gagal. Manifesto PH untuk meningkatkan janji minima kepada RM 1500 sebulan. Proses dimulakan, namun tidak terlaksana.

vi. PTPTN – Gagal. Tidak menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000.

vii. Suruhanjaya Siasatan DiRaja kes 1MDB, Felda, MARA, TH – Gagal.

viii. Jawatankuasa Perjanjian Malaysia – Gagal. Kabinet telah meluluskan pengwujudan jawatankuasa tersebut, ahli-ahlinya masih belum dilantik.

ix. Skim kesihatan – Gagal.

x. Projek mega – Gagal. MRT3 dibatalkan. HSR dan ECRL masih dalam perbincangan.

“Berdasarkan 10 janji 100 hari pun, Pakatan Harapan sekadar mampu melaksanakan 3 janji iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak (separa gagal) dan KWSP untuk pasangan.

“Berdasarkan matematik mudah, 3 daripada 10 janji adalah 30 peratus, bukannya 60 peratus seperti dicanang Lim Guan Eng.

“Berdasarkan 195 muka surat Buku Harapan yang mengandungi manifesto PRU-14, sebanyak 60 janji dicanang kepada rakyat. Pada hari ini, janji-janji tersebut hanya tinggal janji dengan pelbagai alasan diberikan dan diletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu,” katanya.

Ujar beliau, akhirnya, Buku Harapan sekadar sandiwara politik yang bukan kitab suci untuk kerajaan laksanakan.

Shahir menambah, anak muda terus ditipu dengan janji 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500 dan anak muda Sabah dan Sarawak turut ditipu dengan janji 250,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah dan Sarawak.
Malah, beliau mendakwa anak muda terus ditipu dengan janji menyiarkan perlawanan bola sepak EPL percuma.

Beliau berkata, DPIM terkilan dengan kenyataan Guan Eng yang terus menerus merendahkan intelek dan pemikiran rakyat Malaysia.

“Harus diingat, rakyat pada hari ini cakna politik dan mengikuti perkembangan pentadbiran Pakatan Harapan. Kenyataan
60 peratus janji Pakatan Harapan telah tertunai adalah kenyataan tidak bertanggungjawab seorang Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Bab matematik memang aku tak percaya kat dia ni… Banyak kali dah bagi angka yg salah… Ni lah satu2 nya cina yg lemah matematik…

Comments are closed.