Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Dianggarkan setiap hari tiga orang akan meninggal dunia ketika bekerja, manakala seramai 42 orang terlibat dalam kecederaan akibat kemalangan di tempat kerja.

Jumlah kes-kes itu menunjukkan bukti risiko yang dihadapi oleh setiap pekerja dalam negara tidak kira dari pelbagai sektor.

Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, bukan pekerja yang mempunyai majikan sahaja berisiko tetapi yang bekerja sendiri turut berhadapan dengan risiko berlakunya kemalangan yang boleh menyebabkan maut atau kecederaan.

Oleh sebab itu, katanya, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang  diwujudkan bakal memberi manfaat kepada lebih 18 sektor pekerjaan.

“Ini yang kita cerita yang bermajikan. Ini data daripada yang berdaftar dengan PERKESO. Ini juga akan berlaku bagi yang bekerja sendiri,” katanya ketika menjadi panel ‘Bicara BH : Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Kenapa Perlu, Siapa Layak Dan Apa Manfaat’.

Tidak hanya tertumpu kepada pekerja yang berada di ibu kota,  skim yang diumum ketika pembentangan Bajet 2020 Oktober yang lalu turut merangkumi tenaga pekerja di luar bandar termasuk petani dan nelayan.

Sebagai negara yang maju, tambah beliau, setiap pekerja juga perlu memikirkan jaminan perlindungan dirinya, yang pada akhirnya turut memberi manfaat kepada ahli keluarga atau waris yang lain.

“Jadi saya berharap penjaja petani, nelayan dan penggiat seni  faham tanggungjawab mereka kepada keluarga dan diri sendiri, kena tahu kenapa perlu ada perlindungan sosial,” tambahnya.

Hans Isaac. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2019Mengulas lanjut, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Hans Isaac mengakui masih ramai penggiat seni  enggan mencarum dalam SKSPS kerana masih tidak tahu kepentingan dan kebaikannya.

Sebagai anak seni ujarnya, keselamatan diri dan jaminan perlindungan diri perlu ada meskipun tidak mempunyai majikan dan mempunyai gaji tetap seperti sektor lain.

Malah, katanya lagi, galakan dan penerangan yang disebarkannya kepada penggiat seni sering dipertikai dan disalahtafsirkan meskipun SKSPS adalah untuk manfaat diri para artis sendiri.

“Kalau kita susah kerana tidak ada polisi insurans, adakah kita akan pergi kepada orang yang selesa untuk minta pertolongan? Kita tidak boleh sentiasa buat sebegitu sahaja. Keutamaan adalah untuk jaga diri kalau tidak macam mana mahu jaga anak bini?

“Ini yang saya cuba sampaikan dalam industri ini tapi tidak semua diterima tapi selalu dipertikaikan kata saya ada niat lain,”katanya lagi.

Untuk rekod, SKSPS diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Sebagai permulaan skim ini diwajibkan ke atas pemandu teksi, e-hailing (perkhidmatan pengangkutan penumpang) dan pemandu Bas di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789). Akta ini berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.

Mulai tahun depan, SKSPS akan diperluas bagi membolehkan 18 kumpulan yang bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian mencarum dalam skim ini mulai tahun depan.

Selain itu, suri rumah juga  boleh menikmati faedah caruman serendah RM13.10 minimum sehingga RM49.90 setiap bulan.-MalaysiaGazette