Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Inflasi keseluruhan Malaysia dijangka meningkat sederhana pada 2020, dengan inflasi harga pengguna lebih tinggi secara purata dalam julat antara 1.5 dan 2.0 peratus pada tahun depan berbanding 0.7 peratus diunjurkan bagi 2019, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Dalam laporan edisi ke-21 Pemantau Ekonomi Malaysia – ‘Making Ends Meet’ yang dilancarkan di sini hari ini, katanya unjuran lebih tinggi itu sebahagian besarnya menunjukkan kemerosotan kesan daripada perubahan dasar cukai penggunaan pada 2018.

“Selain itu, pengenalan semula mekanisme apungan harga petrol RON95 dan diesel pada Januari pada 2020 dijangka menyebabkan kenaikan sederhana kos pengangkutan pada harga minyak global semasa,” katanya.

Menurut laporan itu, pelbagai risiko penurunan dalam ekonomi global boleh memberi kesan limpahan kepada ekonomi Malaysia, seperti ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dan China yang boleh menyumbang kepada ketidaktentuan dan menjejaskan aktiviti pelaburan.

“Selain itu, ekonomi utama yang lembap dan penurunan yang lebih ketara daripada jangkaan di China boleh membawa kepada kemerosotan prospek pertumbuhan dan eksport. Kejatuhan harga komoditi yang tidak dijangka boleh menjejaskan pertumbuhan dan membawa kepada tekanan fiskal ke atas Malaysia,” katanya.

Di peringkat ekonomi tempatan, Bank Dunia berkata, risiko kepada pertumbuhan sebahagian besarnya berpunca daripada faktor-faktor berkaitan ketidaktentuan yang berpanjangan dalam kalangan pelabur dan pemulihan yang perlahan dalam sektor berkaitan komoditi.

“Pertumbuhan pelaburan merosot pada suku tahun baru-baru ini, berikutan perbelanjaan modal yang rendah. Petunjuk segmen perniagaan menunjukkan tahap keyakinan dalam ekonomi terus rendah.

“Walaupun ketidakpastian mengenai prospek ekonomi global akan memberi impak kepada ekonomi Malaysia, ketidakpastian yang sama berhubung ekonomi tempatan dan perkembangan politik boleh meningkatkan sentimen berhati-hati, sekali gus menjejaskan pelaburan swasta,” katanya.

Menurut laporan itu, hutang dan liabiliti kerajaan yang tinggi, penurunan hasil kerajaan, selain perbelanjaan tidak tertakluk kepada pelarasan yang meningkat, akan mengekang ruang dasar fiskal pada masa depan.

“Berdasarkan persekitaran ekonomi yang tidak menentu, memelihara ruang fiskal penting untuk mengurangkan impak daripada sebarang kejutan negatif kepada ekonomi.

“Hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka merosot kepada 17.9 peratus pada 2020,” katanya.

Bank Dunia berkata perbelanjaan tidak tertakluk kepada pelarasan yang meningkat seperti gaji dan kos membayar hutang telah meletakkan had ke atas perbelanjaan pembangunan dan sosial, mengehadkan keberkesanan dasar fiskal sebagai kaedah pengagihan semula untuk kemakmuran bersama. – MalaysiaGazette