Lirik lagu Negaraku

KUALA LUMPUR – Isu nyanyian Negaraku dalam bahasa selain bahasa Melayu bertambah rumit apabila pelbagai pihak berpegang kepada pendirian yang berlainan.

Keadaan juga bertambah keruh apabila selain nyanyian dalam bahasa Cina yang dikatakan bertujuan membantu murid mendalami makna lagu kebangsaan, versi bahasa Arab dan bahasa Kadazandusun “Pomogunan Ku” juga muncul.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkata, nyanyian dalam bahasa Cina itu hanya berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Kenyataan Amin bagaimanapun mengundang rasa tidak puas hati seorang ahli akademik, Profesor Ahmad Murad Merican yang mahu Amin meletak jawatan.

Sinchew Daily melaporkan, guru besar dari sekolah rendah di Negeri Sembilan yang mana lagu Negaraku bahasa Cina dinyanyikan telah dipanggil oleh Jabatan Pendidikan.

Guru besar itu memberitahu bahawa pihak sekolah akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi melancarkan proses siasatan.

Pendidik itu bagaimanapun tidak memberi ulasan lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

Mengulas isu yang sama, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau berkata, cikgu yang menggunakan Negaraku bahasa Cina adalah berniat naik untuk membantu murid memahami kandungan lagu.

Beliau berkata, cikgu berkenaan justeru tidak harus dikenakan tindakan.

“Kita harus melihat niat cikgu, jika dia berniat menghina negara, maka dia memang harus dihukum.

“Tetapi dalam kes ini, cikgu berkaitan  bertujuan membantu murid memahami Negaraku,” katanya dipetik China Press.

Selepas isu Negaraku bahasa Cina didedahkan berlaku di Negeri Sembilan, warganet turut menjumpai Negaraku versi bahasa Arab yang dikatakan dinyanyikan dalam sebuah sekolah agama di Perak.

Terkini, versi bahasa Kadazandusun “Pomogunan Ku” juga muncul dalam Internet, walaupun tempat rakaman belum dapat dikenal pasti. – MalaysiaGazette