Seorang kakitangan Raudhah Pay (kanan) memberi penerangan tentang aplikasi Raudhah Pay kepada pengunjung sempena Hari E-Dagang di Dewan Perdana MITI, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Penyedia perkhidmatan e-dagang, RaudhahPay menawarkan pakej kepada 100 peniaga terawal yang mendaftar iaitu fi perkhidmatan serendah RM1 bagi setiap transaksi Proses Pertukaran Kewangan (FPX).

Ketua Teknologi Raudhah Pay, Mohamad Azarul Hakim Ibrahim berkata, tawaran itu dibuka sempena Hari e-Dagang bertemakan Dari Tempatan ke Global yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini.

Menurutnya, sistem e-Dagang yang diperkenalkan itu merupakan aplikasi bil dan ‘payment gateway’ terbaharu dihasilkan bagi membantu penggiat industri kecil sederhana (IKS) menguruskan bil dan kutipan pembayaran secara dalam talian.

“Pengusaha IKS yang ingin mendapatkan tawaran perkhidmatan itu boleh mengunjungi gerai pameran RaudhahPay di Dewan Perdana MITI sehingga esok.

“RaudhahPay turut menawarkan bayaran serendah 1.8 peratus untuk kad kredit dan penyelesaian bayaran hanya mengambil masa sembilan jam berbanding 24 jam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Majlis pelancaran RaudhahPay itu disempurnakan Pengarah eCommerce Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Song Hock Koon dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Connexion, Sean Tay sebagai rakan teknologi Google Malaysia.

Turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan RaudhahPay, Fazli Rahim dan Ketua Pengarah Pembangunan Perniagaan Islam RHB Islamic, Amir Abdul Aziz selaku rakan perbankan kepada RaudhahPay.

Tambah Mohamad Azarul, perkhidmatan tersebut bermula sejak prapelancaran pada September tahun lalu dan berjaya menarik seramai 340 pengusaha IKS menggunakan sistem itu yang memproses transaksi sebanyak RM52 juta.

Mohamad Azarul Hakim Ibrahim

Menurutnya, aplikasi itu dibina selepas mengambil kira kekangan dihadapi IKS iaitu masalah pembayaran secara manual dan tiada sistem bil yang boleh membantu menjejaki penghutang lewat bayar dan rekod akaun sistematik.

“Paparan papan muka RaudhahPay adalah pertama diperkenalkan oleh penyedia perkhidmatan ‘payment gateway’ bagi membantu pemilik syarikat mendapatkan rekod prestasi kutipan dengan pantas dan efisien,” katanya memetik laporan Malakat Tribune.

Jelas Mohamad Azarul, peniaga yang menggunakan penyelesaian bil RaudhahPay atau ‘payment gateway’, boleh berurus niaga secara global dengan mana-mana negara kerana aplikasi itu menerima transaksi kad kredit dari mata wang antarabangsa.

“Bagi pembayaran secara dalam menggunakan RaudhahPay, peniaga boleh menentukan kaedah pembayaran terbaik untuk pelanggan mereka sam ada melalui perbankan dalam talian FPX atau kad kredit,” ujarnya.

RaudhahPay merupakan aplikasi bil dan ‘payment gateway’ terbaharu dihasilkan bagi membantu pengusaha IKS menguruskan bil dan kutipan pembayaran secara dalam talian.

Kemudahan ini membolehkan pemilik perniagaan mudah mendapat data terkini berkenaan status kutipan dan prestasi jualan dengan pantas untuk membuat keputusan perniagaan.