Perkataan Tipu menjadi pilihan masyarakat Cina sepanjang 2019.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina telah memilih “tipu” sebagai perkataan yang menggambar keadaan Malaysia sepanjang tahun 2019.

Sinchew Daily melaporkan, perkataan “tipu” menerima 24.62 peratus undi dalam satu program tahunan yang diadakan, sekali gus menundukkan sembilan perkataan popular lain yang berjaya memasuki pemilihan peringkat terakhir.

Sembilan perkataan lain ialah bimbang, cukai, bosan (atau tidak suka), jerebu, terbelenggu, kesal, Jawi, porak-peronda dan juga kuda (berbunyi Ma, yang juga perkataan awalan untuk Malaysia dan Mahathir).

Secara keseluruhannya, sebanyak 267 perkataan telah dicalonkan peserta untuk aktiviti perkataan pilihan 2019 yang dianjurkan Pusat Kebudayaan Han Malaysia dengan disokong Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong).

Pengerusi Pusat Kebudayaan Han Malaysia, Datuk Goh Hin San berkata, perkataan “tipu” dipilih selepas orang ramai membuat diagnosis terhadap “keadaan kesihatan” semasa Malaysia.

Beliau berkata, selepas diagnosis dilakukan, maka ia harus disusuli dengan proses rawatan.

“Pada 2016, perkataan yang dipilih adalah tamak. Jika proses perubatan dijalankan serta-merta pada masa itu, keadaan sakit tidak akan bertambah tenat selepas itu,” katanya.

Tambahnya, kerajaan justeru perlu mengambil iktibar dan tidak mengulangi kesilapan 2016 yang kemudian menjurus kepada keadaan tenat di Malaysia.

“Mereka yang berkuasa politik itu harus menitik berat suara rakyat dan mengambil peduli akan perkataan yang dipilih rakyat pada tahun ini,” katanya.

Pengerusi Hua Zong, Tan Sri Goh Tian Chuan berkata, aktiviti pemilihan perkataan tahunan merupakan saluran bagi rakyat menyuarakan pendapat dan perasaan tetapi ia bukan satu pungutan suara yang melambangkan tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan.

“Perkataan ‘tipu’ tidaklah menyasarkan kerajaan atau mana-mana pertubuhan. Ia bagaimanapun melambangkan suara rakyat, dan mereka mahu kerajaan mendapat iktibar daripada perkataan yang dipilih,” katanya. – MalaysiaGazette