Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Ekonomi Digital India Malaysia (MiDEC) ke-3 di Asia Pasific University, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 DISEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tidak cepat melatah terhadap desakan supaya beliau melepaskan jawatan sebagai menteri Kabinet dan menganggap gesaaan itu sebahagian daripada proses demokrasi.

Gobind berkata, beliau menerima apa sahaja kritikan yang dilontarkan terhadapnya termasuk desakan salah seorang perwakilan Parti Amanah Negara (Amanah) itu dengan alasan kementeriannya gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Itu pendapat mereka yang hadir, saya terima apa-apa kritikan dan tidak ada masalah dengan itu. Itu adalah satu pandangan yang telah dilontarkan kepada saya.

“Banyak kerja yang perlu saya lakukan. Kementerian dibawah saya ini dibahagikan kepada beberapa bahagian. Termasuk yang fokus kepada ekonomi digital.

“Bahagian komunikasi juga kita fokuskan dan kita memang mengambil langkah yang perlu untuk naik taraf dan perbaiki teknik Komunikasi kita,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan ekonomi digital Masyarakat India Malaysia ke-3 2019, di Asia Pasifik University Of Technology, hari ini.

BACA: Perwakilan Amanah gesa Gobind lepas jawatan menteri

Timbalan Pengerusi DAP itu mengulas mengenai desakan perwakilan Amanah Sarawak, Andri Zulkarnaen yang berkata Gobind dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan PH dalam menunaikan manifesto.

“Kita mesti merombak kepimpinan kerajaan sedia ada dengan menukar menteri-menteri yang tidak perform. Antara menteri yang patut ditukar, menteri komunikasi. Sebab apa? Sebab dia gagal mempromosikan kejayaan kerajaan PH menunaikan manifesto.

“(Gobind) juga gagal mempertahankan kerajaan PH daripada serangan musuh, begitu juga sebahagian menteri-menteri lain yang juga tidak perform yang tak perlu saya senaraikan di sini,” katanya di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Gobind berjanji akan terus bekerja dan memperbaiki segala kekurangan yang dilihat pada dirinya sejak memegang jawatan sebagai menteri.

“Kita akan terus pastikan kerja kerja kuat untuk memperbaiki apa-apa kekurangan yang ada. Saya tidak ada masalah dengan kritikan yang dihalakan terhadap saya.

“Ini adalah proses demokrasi dimana semua dibenarkan untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

“Saya selaku menteri dan juga pemimpin kita harus dengar apa pun kritikan yang telah dikemukakan. Saya tidak ada masalah dengan perkara itu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

TERKINI : Gobind Singh Sila Letak Jawatan!!! – Perwakilan AMANAH Sarawak