KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk menjual saham dalam Petronas kepada negeri-negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu dibuat dalam usaha mencari dana bagi kerajaan yang kini dibebani oleh hutang yang tinggi.

Langkah sedemikian boleh memberi peluang kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak kuasa dalam pengurusan Petronas yang merupakan pengeksport gas asli cecair ketiga terbesar di dunia.

“Ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, terpulang kepada kerajaan untuk menjual saham secara peribadi dan bukan dalam pasaran kepada negeri seperti Sabah dan Sarawak.

“Petronas adalah sebuah syarikat besar, ia juga bergantung kepada berapa banyak (negeri-negeri itu) mampu bayar,” kata dalam satu temu ramah bersama Reuters.

Menurut Mahathir, kerajaan juga boleh menjual saham dalam unit kecil Petronas yang disenaraikan dan tidak disenaraikan.

“Apa yang kami perlu adalah mengurangkan penglibatan dan jumlah pegangan saham bagi menjana dana untuk kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette