KUCHING – Bintang ternama Hollywood dari Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh meluangkan masa daripada kehidupan layar perak hari ini dengan menghadiri forum kelestarian dan tenaga boleh baharu di sini dan menarik perhatian pakar-pakar tenaga yang hadir.

Mengenakan sut merah jambu muda untuk majlis itu, artis kelahiran Ipoh yang mengukir nama dalam beberapa filem blokbuster datang ke ibu negeri Sarawak bukan untuk sesi penggambaran filem tetapi selaku Duta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

“Dalam kapasiti ini, saya terpanggil untuk menyokong matlamat pembangunan lestari. Tujuh belas Matlamat Pembangunan Lestari atau SGD menyediakan satu rangka tindakan untuk bagaimana pemegang kepentingan di negara maju dan membangun boleh bekerjasama mencapai Agenda 2030 untuk Agenda Pembangunan Lestari sebagai satu laluan untuk berkongsi kemakmuran,” kata beliau dalam ucapannya di majlis itu.

Beliau juga membawa 500 peserta termasuk Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membayangkan melakukan rutin harian mereka tanpa elektrik semasa menyampaikan pendapatnya mengenai kepentingan tenaga dalam kehidupan seharian manusia hari ini.

“Bagaimanakah pagi anda atau hari bekerja tanpa elektrik Bolehkah anda melakukan kerja anda tanpanya ,” soal beliau.

Yeoh berkata Malaysia sepatutnya sedar bahawa mereka sebenarnya beruntung kerana hampir 100 peratus daripada mereka mempunyai akses kepada elektrik untuk memudahkan kehidupan seharian mereka tetapi 840 juta orang yang tinggal di tempat lain di dunia ini tidak begitu bernasib baik.

Beliau berkata tiga bilion lagi penduduk dunia masih bergantung kepada bahan api yang tidak sihat dan dilihat sebagai tidak lestari serta tidak boleh diterima berdasarkan standard ditentukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Penggunaan tenaga kita sekarang adalah penyumbang utama kepada perubahan iklim, menghasilkan dua pertiga gas rumah hijau sejagat,” kata beliau.

Beliau juga menggesa keperluan kerjasama antara kerajaan dan pihak lain untuk mencapai wawasan karbon-sifar dan masa hadapan dengan iklim tahan lasak.

“Tiba masanya untuk meningkatkan standard, melabur dalam peralihan tenaga sejagat dan meningkatkan tenaga boleh diperbaharui secara global,” katanya.- BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.