PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Seorang nelayan dari Kuala Muda, Penaga di sini dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki dipukul ombak dan menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut ketika sedang menangkap ikan di perairan Muka Head, Teluk Bahang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian kira-kira 10.40 malam itu, Muhamad Redzuwan Ahmad Shafie, 21, bersama seorang lagi nelayan dan seorang tekong masing-masing berusia 34 serta 37 tahun telah keluar menangkap ikan dengan sebuah bot sejak pukul 4 petang semalam.

“Mereka menangkap ikan di kawasan Muka Head iaitu jarak kira-kira 30 batu nautika dari Jeti Kuala Muda, Penaga di sini dan ketika sedang merawai ikan tenggiri, tiba-tiba satu ombak besar telah memukul bot nelayan tersebut sehingga menyebabkan mangsa dan seorang lagi nelayan terpelanting jatuh ke dalam laut manakala tekong bot hanya terjatuh di dalam bot,” katanya di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, seorang lagi nelayan yang jatuh ke dalam laut berjaya memegang bahagian luar bot fiber itu sebelum terus naik semula ke dalam bot tetapi Redzuwan kelihatan terkapai-kapai sebelum terus hilang dibawa arus deras.

Noorzainy berkata, semasa kejadian itu, terdapat beberapa nelayan di dalam dua lagi bot berhampiran lokasi mangsa terjatuh dan mereka turut cuba membantu mencari serta menghulurkan bantuan namun gagal mengesan mangsa sebelum memaklumkan kepada rakan nelayan lain di daratan.

“Berikutan kejadian itu, polis bersama beberapa agensi lain antaranya pihak bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) nelayan tersebut di lokasi mangsa dilaporkan terjatuh serta kawasan berhampiran,” katanya sambil menambah operasi itu turut dibantu pihak nelayan.

Katanya ketika ini cuaca baik di kawasan perairan itu dan operasi tersebut akan diteruskan sehingga mangsa ditemui. – Bernama