illegal logging Lake Kenyir debris flow landslide Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar Menteri Besar Terengganu MB
Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk membeli kepentingan dalam Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sekiranya ia dijual dalam bentuk ekuiti yang munasabah.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini berikutan kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk memiliki keseluruhan pegangan dalam syarikat minyak nasional itu.

“Apa pun bergantung kepada aset-aset berkenaan iaitu telaga minyak. Saiz, harganya berapa dan sebagainya. Kalau sampai berbilion-bilion itu tidak mampu juga kita (kerajaan negeri). Negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak mempunyai simpanan tunai yang besar berbanding Terengganu.

“Tetapi kalau dalam bentuk ekuiti, (contohnya) lima atau 10 peratus itu mungkin boleh dipertimbangkan. Di Terengganu kita ada banyak telaga minyak. Katalah satu-satu telaga minyak itu sekadar harga RM10 juta atau RM20 juta, kita boleh beli,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata, kerajaan sedang mempertimbang untuk menjual saham dalam Petronas kepada negeri-negeri yang mempunyai loji syarikat minyak dan gas itu.

Dr Mahathir berkata, cadangan itu dibuat dalam usaha mencari dana bagi kerajaan yang kini dibebani oleh hutang yang tinggi.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri setakat ini belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan itu dan akan mendapatkan maklumat terperinci sebelum membuat sebarang keputusan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Terengganu setakat ini kekal menerima lima peratus bayaran royalti minyak dari Kerajaan Persekutuan dan belum membuat sebarang tuntutan untuk menaikkan bayaran tersebut kepada 20 peratus seperti dilakukan Sabah dan Sarawak. – Bernama