BANGKOK – Suasana jerebu menyelubungi persekitaran ibu negara Thailand hari ini semasa kualiti udaranya jatuh ke tahap “tidak sihat” di berapa bahagian kota.

Sehingga pukul 8.00 malam ini bacaan Indeks Kualiti Udara (AQI) di Bangkok berada antara 101 dan 175, yang merupakan bacaan tidak sihat.

Sementara itu partikel udara pula mencatatkan angka 2.5 mikron dengan diameter kurang dari (PM2.5) antara 34 ke 80 microgramme setiap meter padu, yang merupakan bacaan tidak sihat.

Samut Sakhon di tengah Thailand mencatatkan kualiti udara paling buruk di mana bacaan AQI berada pada 202, dan PM2.5 dengan 92 microgramme setiap meter padu pada pukul 8.00 malam ini (waktu tempatan).

Sementara itu Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand hari ini menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memakai topeng muka semada berada di luar rumah, terutama kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah pernafasan.

Ia juga menasihatkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Menurutnya ia akan terus memantau keadaan dan menyelaras tugas-tugas bersama agensi-agensi lain yang berkaitan untuk menangani masalah jerebu dan kesannya kepada orang ramai.- BERNAMA