Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa agar memberikan fokus kepada sukan-sukan teras yang mampu mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Langkah itu penting selepas prestasi Sukan SEA 2019 pada kali ini jelas menunjukkan formula Kementerian Belia dan Sukan tidak menjadi, kata Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

Beliau berkata, Syed Saddiq jangan hanya terlalu asyik dengan sukan e-sport hingga menganaktirikan sukan-sukan teras yang lain.

“Jangan terlalu asyik dengan Kelab Pemuda Belia (YPC) hingga menganaktirikan perkembangan persatuan belia lain seperti MBM.

“Hindarkan “favoritism” demi masa depan sukan negara dan perkembangan belia tanahair,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, Syed Saddiq juga perlu memberi fokus kepada persiapan kejohanan antarabangsa Sukan Olimpik 2020 dan Sukan SEA Hanoi 2021 bagi menebus prestasi buruk Sukan SEA 2019.

Ujarnya, nisbah peruntukan untuk e-sport sebenarnya agak keterlaluan kerana penganjuran sukan antarabangsa tidak menawarkan banyak pingat untuk acara e-sport.

“Sebagai contoh, Sukan SEA 2019 menawarkan hanya enam pingat kepada acara e-sport dan negara kita sekadar membawa pulang satu pingat emas.

“Prestasi dan pengalaman yang bagus kepada atlet, namun peruntukan tidak mengikut nisbah yang betul.

“Seharusnya Menteri Belia dan Sukan tidak memilih bulu dek kerana minatnya untuk bermain permainan video,” tambahnya.

Untuk rekod, pada Sukan SEA 2017, Malaysia mengutip 144 pingat emas, jauh melangkaui sasaran 111 pingat emas pada waktu itu.

Bagi Sukan SEA 2015 pula, Malaysia mengutip 62 pingat emas, melangkaui sasaran 48 pingat emas ketika itu.

Fakta itu menunjukkan prestasi terburuk Malaysia dalam tempoh tiga kali penglibatan negara dalam Sukan SEA sejak 2015. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. menteri budak-budak…..lumrah dah gitu. itu membuktikan tahap dan taraf yg jauh dr kematangan apatah lagi utk visi yg lebih besar. Makna kata, PM7 yg memilih sudah hilang magis. Lebih kerana meraikan usia 90-an…..dah masuk zon nyanyok…….

Comments are closed.