Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menegaskan tiada keperluan bagi negeri itu menempatkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Pejabat Menteri Besar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah mempunyai Bahagian Integriti dan Tadbir Urus, Audit Dalaman dan Jabatan Audit Negara untuk memastikan pemantauan mengenai rasuah dilakukan.

Beliau berkata, walaupun ada cadangan daripada SPRM tetapi sudah mencukupi dengan adanya agensi sekarang bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan sepertimana mengikut undang-undang.

“Setakat ini pentadbiran adalah baik dan boleh dikatakan sifar rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

“Semua ini adalah hasil usaha kerajaan negeri dan SPRM yang sentiasa memberikan panduan,” katanya kepada pemberita pada Sambutan Hari Integriti Peringkat Kelantan di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

SPRM sebelum ini dilaporkan bersedia menempatkan pegawai kanannya di pejabat Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri bagi memperkasa integriti serta membendung perkara berkaitan rasuah di peringkat kerajaan negeri.

Mengulas mengenai sambutan Hari Integriti, Mohd Amar berkata, ia adalah sebagai usaha menghidupkan dan menyegarkan ingatan kakitangan tentang tanggungjawab semua supaya sentiasa berada di atas landasan yang betul.

“Program dan aktiviti yang dijalankan dilihat dapat mencetuskan kesedaran dalam kalangan pentadbir awam bahawa mereka bukan saja bekerja namun sebenarnya memenuhi tanggungjawab agama,” katanya. – Bernama

1 Komen

Comments are closed.