Mohd Hairi Mad Shah

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan supaya memberikan jawapan kepada umum terhadap situasi semasa sebagai langkah mengembalikan keyakinan pelabur yang terjejas dengan keadaan perniagaan yang semakin ‘huru-hara’ di negara ini.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tidak dinafikan cabaran ekonomi dunia yang berlaku ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap perjalanan ekonomi di Malaysia khusus buat konglomerat dan syarikat besar.

Katanya, saban hari ada sahaja berita mengenai syarikat mengalami kerugian, mengecilkan operasi, memberhentikan pekerja, malah lebih teruk terpaksa ‘gulung tikar’ dan diberhentikan operasi didengari.

“Dalam industri media misalnya, tidak dinafikan mereka mengalami tempoh sukar dan baru-baru ini nasib pekerja di syarikat Utusan Melayu yang memberhentikan operasinya Oktober lalu, masih tidak diketahui sehingga kini.

“Terbaharu, Pemuda UMNO Johor difahamkan, Media Prima Berhad dalam perancangan untuk mengecilkan operasinya dengan menawarkan skim pemberhentian kepada ribuan kakitangannya di seluruh negara dan berita ini suatu yang amat mengejutkan bagi sebuah konglomerat besar media di Malaysia.

“Persoalannya, mengapa perkara ini berlaku? Tidak adakah usaha daripada kerajaan di bawah Pakatan Harapan untuk membantu dan mengelakkan perkara ini berlaku, apatah lagi membela nasib mereka yang bakal hilang pekerjaan, sumber rezeki menyara anak dan keluarga,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Hairi turut melahirkan kehairanan apabila rangkaian dan platform berita di bawah kendalian Media Prima Berhad kebanyakkannya membawa suara dan menjadi frontline menyalurkan maklumat, usaha dan dasar kerajaan PH hari ini boleh mengalami nasib serupa.

Beliau turut mempersoalkan kelantangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo sebelum ini tegas menyuarakan di Dewan Rakyat ketika menjadi ahli Parlimen pembangkang tanpa
kini mempertahankan dan menjawab segala isu yang berlaku dalam industri media di Malaysia.

“Apakah relevan janji menyediakan satu juta peluang pekerjaan berkualiti, sedangkan ribuan rakyat Malaysia berdepan situasi sukar diberhentikan secara tiba-tiba?

“Adakah kerajaan Pakatan Harapan langsung tidak ambil peduli situasi yang berlaku sekarang ini?

“Apakah usaha kerajaan Pakatan Harapan mahu memulihkan keadaan ekonomi negara dan mengelak lebih banyak syarikat gulung tikar?” soal beliau.

Justeru katanya, satu tindakan konkrit perlu dikeluarkan khusus bagi mengelak situasi pembuangan kerja terus berlaku dan pada masa sama membela nasib mereka yang diberhentikan itu. – MalaysiaGazette