Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bergambar dengan kakitangan yang membangunkan projek Komuniti Hub pada Program Projek Komuniti Hub di Flat Taman Dagang Fasa 2A/3 Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 14 DISEMBER 2019

AMPANG – Walaupun tampak lantang dan kritikal dalam PKR namun Zuraida Kamaruddin enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan kes salahlaku seksual melibatkan pucuk pimpinannya.

Malah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Ampang ketika ditanya cadangan supaya mana-mana pemimpin yang terpalit dengan skandal seumpama itu perlu ‘direhatkan’, beliau enggan mengulas panjang.

Sebaliknya, beliau menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan memberikan keputusan akhir siasatan sebelum apa-apa tindakan termasuk berehat atau letak jawatan diambil.

Wartawan: Adakah pemimpin yang berhadapan dengan kes gangguan seksual wajar berehat sehingga kes selesai?

Zuraida: Kes apa itu? (dalam nada ketawa)

Wartawan: Seperti Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan PKR (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali).

Zuraida: Itu, kes-kes itu dalam siasatan polis biarlah mereka habis siasat terlebih dahulu kemudian barulah kita boleh buat sebarag keputusan.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi didakwa terlibat dalam sebuah video hubungan sejenis dengan seorang ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Walaupun Haziq mengakui dirinya dalam video yang menjadi tular itu dan mendakwa pasangannya adalah Mohamed Azmin namun sampai sekarang kes berkenaan masih belum ada sebarang tindakan.

Sementara sejak seminggu lepas, gempar satu negara apabila kakitangan pejabat PKR, Muhammed Yusoff Rawther membuat pendedahan dirinya telah diperlakukan tidak senonoh oleh Anwar.

Yusoff juga membuat laporan dan menyerahkan akuan bersumpah di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul berhubung dakwaan cabul terhadap dirinya, selain menggesa supaya tindakan perundangan diambil terhadap Ahli Parlimen Port Dickson itu.- MalaysiaGazette