Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengingatkan agar ahli-ahli partinya tidak membuang masa mempersoalkan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Katanya, tiada pihak yang seharusnya mempersoalkan peralihan jawatan perdana menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, ia kemungkinan akan berlaku selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 yang akan berlangsung pada November tahun depan.

“Jangan buang masa mempersoalkan peralihan kuasa ini, dan jangan biarkan ada mana-mana pihak yang masih mempersoalkannya kerana ia mungkin akan berlaku selepas APEC 2020,” kata Lim kepada 372 perwakilan dalam konvensyen hari ini seperti dilaporkan Malaysiakini.

Meskipun Dr Mahathir dan Anwar berulang kali memberi keyakinan peralihan kuasa itu akan berlaku seperti yang dipersetujui PH sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14, belum ada tarikh tepat dinyatakan.
Iklan

Bagaimanapun, pada 11 November lalu, Dr Mahathir berkata kepada Reuters, beliau akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas APEC 2020 yang akan diadakan di negara ini pada November tahun depan.

Sementara itu, Guan Eng juga mengingatkan ahli parti agar tidak membuang masa mengenai masalah dalaman di khalayak ramai.

“Perselisihan dalaman perlu dibincangkan di belakang pintu tertutup, apa yang berlaku kepada rakan gabungan mempengaruhi pihak lain di PH juga,” katanya sambil mengingatkan tentang kesetiaan dan pengorbanan para pemimpin veteran parti.

Guan Eng berkata, ramai pemimpin DAP telah dipenjarakan kerana berpegang pada prinsip mereka.

“Jangan lupa pengorbanan pemimpin veteran kita. Sebagai contoh, pemimpin kanan Lim Kit Siang, yang menolak jawatan menteri dan kekal sebagai Ahli Parlimen.

“Ia menunjukkan anda boleh menyumbang kepada parti dan negara tanpa memegang sebarang jawatan dalam kerajaan,” katanya yang juga ahli parlimen Bagan. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.