KUALA LUMPUR – Keputusan tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi Tingkatan 1 tahun 2020 telah dibuka

Pemohon boleh membuat semakan melalui >> https://mrsm.mara.gov.my/semakantawaranmrsmf1

‘Tahniah,” menurut Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi akaun Facebook.

Sementara itu,  Bernama melaporkan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata,  iklan kemasukan pengambilan baharu pelajar tingkatan satu bagi tahun 2020 menerima permohonan daripada 80,319 orang sedangkan kuota pengambilan yang ditetapkan ialah 7,628 orang.

Ia melibatkan 3,595 pelajar bagi MRSM Premier, MRSM Ulul Albab (870 pelajar), MRSM Program International General Certificate of Secondary Education (2,485 pelajar), MRSM Teknikal (180 pelajar) dan MRSM Program International Baccalaureate Middle Years Programme (489 pelajar).

Rina berkata, mereka yang tidak berjaya pada semakan itu masih berpeluang mengemukakan rayuan untuk mengisi kekosongan pelajar yang menolak tawaran kemasukan tersebut, yang akan diketahui selepas selesai proses pendaftaran.

Bagi sesi pengambilan pelajar MRSM 2020, sebanyak 60 peratus daripada kuota itu diisi oleh pelajar daripada keluarga B40, sebagai inisiatif membantu mereka belajar di persekitaran kondusif dengan harapan akan dapat mengubah nasib keluarga pada masa depan.

“Mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan tidak perlu bimbang mengenai persiapan ke MRSM kerana MARA menyediakan skim bantuan iaitu Bantuan bagi Pendidikan (BUDI) yang mendapat sokongan daripada banyak syarikat korporat,”  katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Back To School 2020 @ KPLB Yayasan Pelajaran MARA di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini, hari ini.

Bagi kemasukan ke tingkatan 4 tahun di MRSM tahun depan, Rina berkata jumlah permohonan yang diterima adalah 26,160 orang dengan kuota pengambilan sebanyak 1,812 orang melibatkan MRSM Premier (710 orang) dan MRSM Program Khas Pendidikan (1,102 orang). – MalaysiaGazette