Pengerusi Tourism Produktivity Nexus (TPN), Uzaidi Udanis menunjukkan risalah produk pelancongan Kedah pada Majlis Pra-Pelancaran Direktori Pelancongan Kedah Produktif di Hotel Seri Malaysia Alor Setar di sini hari ini.

ALOR SETAR – Tourism Productivity Nexus (TPN) berharap kerajaan memberi kebenaran kepada kenderaan awam dan pelancongan melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam 24 jam sehari seperti kenderaan perdagangan berat sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis berkata, langkah tersebut penting untuk dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelancong dari Selatan Thailand ke Kedah sekaligus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Katanya, pihaknya mengakui terdapat kekangan keselamatan  tetapi kawalan keselamatan perlu dipertingkatkan.

“Pihak berkuasa boleh ketatkan undang-undang asalkan pelancong boleh keluar masuk 24 jam sehari, jika tidak produk-produk di tanah besar Kedah akan terbiar begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pra-Pelancaran
Direktori Pelancongan Kedah Produktif di Hotel Seri Malaysia Alor Setar di sini hari ini.

TPN adalah inisiatif kerajaan menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang dianggotai pemain industri pelancongan sebagai usaha untuk meningkatkan pertumbuhan dan produktiviti sektor berkenaan di peringkat perusahaan, sektor serta kebangsaan.

Menurut Uzaidi yang juga Pengerusi Majlis Konsul Pelancongan Malaysia, berkata tanah besar Kedah berpotensi untuk menggamit hampir dua juta pelancong dari Thailand bercuti ke negeri ini.

“Berdasarkan statistik yang diperoleh seramai 10 juta pelancong dari seluruh dunia bercuti di Selatan Thailand dan Kedah boleh ‘memanggil’ mereka menerusi kemudahan dan produk yang menarik.

“Apa yang kita lihat Kedah sebenarnya mempunyai pelbagai produk yang menarik seperti Tapak Arkeologi Sungai Batu yang diiktiraf sebagai tapak tamadun manusia tertua di Asia Tenggara, Gunung Jerai dan banyak lagi produk lain,” jelasnya.

Pada Jun lalu, ICQS Bukit Kayu Hitam membuka operasi 24 jam sehari untuk kenderaan berat sebagai langkah kerajaan Malaysia menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan sempadan tanah air selain mengurangkan kesesakan pada waktu kemuncak.- MalaysiaGazette