Goldman Sachs

KUALA LUMPUR – Kes terbitan bon berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai US$6.5 bilion (RM27.2 billion) terhadap Goldman Sachs International dan entitinya di Asia akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun, untuk memindahkan kedua-dua kes itu daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

“Kes dua entiti ini iaitu Goldman Sachs International Ltd yang berpangkalan di UK dan Goldman Sachs (Asia) LLC berpangkalan di Hong Kong, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” kata Hakim Mohamed Zaini.

Peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Goldman Sachs tidak membantah permohonan itu.

Mahkamah turut menetapkan 26 Dis untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes sama membabitkan Goldman Sachs (Singapore) daripada Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mohamed Zaini menetapkan tarikh itu setelah beliau dimaklumkan oleh pasukan pendakwaan dan pembelaan bahawa penyerahan notis saman terhadap Goldman Sachs (Singapore) masih dalam proses.

Selepas itu, apabila kes berkenaan dikemukakan untuk sebutan di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif, Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir memaklumkan kepada mahkamah tentang perkembangan kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Dis untuk sebutan bagi mengemas kini status permohonan pemindahan oleh pihak pendakwaan terhadap Goldman Sachs (Singapore).

Ketika ditemui pemberita, Zaki Asyraf berkata pertuduhan terhadap Goldman Sachs (Singapore) tidak dikepilkan bersama-sama saman itu, oleh itu, ia perlu dihantar semula.

Pada Disember tahun lepas, Malaysia memfailkan empat pertuduhan terhadap Goldman Sachs kerana didakwa meninggalkan fakta material berhubung penjualan bon terbitan antara anak syarikat 1MDB dengan Aabar Investments P.J.S. Limited (Aabar Limited).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Aras 8, Menara IMC, No. 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012, dan 11 Nov 2013.

Syarikat itu didakwa mengikut seksyen 179(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum menurut Seksyen 182 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Bekas ahli perbankan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat itu berhubung penjualan nota jaminan dan bon yang sama dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menganggarkan sekitar US$4.5 bilion diselewengkan daripada 1MDB antara 2009 dan 2014.

— BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.